PDRM-9

Bukit Aman tidak akan memberikan potongan atau diskaun untuk pesalah trafik, ujar Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim.

Menurut laporan yang disiarkan oleh The Star, Timbalan Ketua Polis Negara itu turut memuji pesalah trafik yang membayar saman masing-masing tepat pada masanya, walau bagaimana pun tiada diskaun akan ditawarkan.

“Tiada sebarang diskaun akan ditawarkan. Kita berharap ia mampu memberikan kesedaran buat semua pengguna jalan raya agar lebih berhati-hati dan berdisiplin pada masa akan datang,” ujarnya.

Ketua Trafik Pasukan Cawangan Bukit Aman SAC Mahamad Akhir Darus pula berkata semua pesalah trafik sepatutnta menyelesaikan saman masing-masing tepat pada masanya.

“Kami tidak mahu menggalakkan sikap di kalangan rakyat Malaysia di mana mereka hanya akan membayar saman mereka hanya apabila terdapat tawaran diskaun.

“Jika tiada tawaran diskaun dalam dua tahun, mereka tidak akan membayar saman dalam tempoh itu juga. Jadi kami tidak mahu sikap itu terus digalakkan,” tambahnya lagi.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mencadangkan agar jumlah kompaun maksimum dinaikkan sebagai antara inisiatif mengurangkan kadar kemalangan di jalan raya.

Menurut Khalid, tindakan itu bagi mendidik pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati dalam pemanduan kerana mereka masih dilihat penyumbang utama kepada kemalangan.