NKVE_KM15

Pada 13 Mac ini, laluan di antara Persimpangan Bertingkat Bukit Lanjan dan Persimpangan Bertingkat Shah Alam di Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) akan ditutup sementara sempena larian amal meraikan ulang tahun ke-50 Kumpulan UEM Berhad.

Pengarah Urusan PLUS Malaysia Berhad (PLUS), Datuk Noorizah Abdul Hamid berkata laluan itu akan ditutup mulai 12.30 tengah malam hingga 10 pagi, menurut laporan Bernama.

Penutupan itu membabitkan empat persimpangan bertingkat di laluan itu iaitu di Subang, Damansara, Kota Damansara dan sebahagian laluan Bukit Lanjan-Shah Alam.

Bagi kelancaran trafik, pengguna lebuh raya itu perlu menggunakan laluan alternatif serta merancang perjalanan mereka sepanjang tempoh penutupan tersebut.

Klik untuk besarkan imej

“Pengguna dari arah utara yang ingin ke Lebuhraya ELITE, Seremban dan destinasi lain di selatan perlu keluar dari Lebuhraya Utara-Selatan menerusi Persimpangan Rawang Selatan dan menggunakan Lebuhraya Guthrie sebelum memasuki Lebuhraya ELITE menerusi Plaza Tol Shah Alam,” katanya.

Noorizah berkata lebih 250 pegawai dan anggota polis, Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) dan Projek Penyelenggaraan Lebuhraya Berhad (Propel) akan menyelaras dan mengawal lalu lintas di jalan-jalan alternatif tersebut.

Malah peserta dinasihatkan supaya meletakkan kenderaan mereka di pusat beli-belah Paradigm, Stadium Kelana Jaya dan Pusat Perniagaan Kelana.