2015-volvo-t5-twin-engine-live-pictures-001_BM

Volvo bakal melengkapkan barisan model Siri 90 (S90, V90, dan XC90) mereka dengan unit kuasa baharu 1.5 liter Twin Engine plug-in Hybrid. Volvo percaya enjin yang pada awalnya direka untuk menjana model kompak mereka itu cukup berkuasa untuk dipadankan pada model yang lebih besar.

“Kami telah pun memadankan enjin tiga-silinder dengan bantuan pengecas turbo dan kotak gear klac berkembar pada V40, dan ia memberikan prestasi terbaik,” kata ketua penyelidikan dan pembangunan Volvo Dr Peter Mertens kepada Auto Express.

“Dengan enjin 1.5 liter, kami jangka 150 hp lebih adalah mudah untuk dicapai, jika tidak ada orang yang memberitahu anda, anda tidak tahu yang ia adalah sebuah enjin tiga-silinder. Kami akan memadankan enjin ini pada model Siri 60 (S60,V60, dan XC60) yang akan datang dan ia juga akan turut dipadankan pada S90. Ia sangat meyakinkan,” tambah beliau.

Sekarang ini satu-satunya unit kuasa hibrid yang dipadankan pada XC90, S90 dan V90 hanyalah unit 2.0 liter T8 Twin Engine yang mampu menghasilkan 407 hp dan tork 640 Nm. Enjin 1.5 liter tiga-silinder petrol mampu menghasilkan kuasa sehingga 150 hp, unit T5 Twin Engine untuk model kompak mereka pula berupaya menghasilkan kuasa sehingga 250 hp dan tork maksima 400 Nm. Angka yang dihasilkan tersebut sememangnya cukup kuat untuk menjana model yang lebih besar seperti Siri 90.

Seperti diperincikan sebelum ini, unit T5 Twin Engine dikatakan dibina untuk model yang lebih kompak, seperti Volvo V40 dan dijangkakan juga untuk XC40. Unit kuasa plug-in hybrid tersebut menampilkan enjin petrol 1.5 liter Drive-E dengan pengecas turbo memacu roda hadapan, manakala motor elektrik 55 kW memacu roda belakang, menjadikan ia sebuah sistem pacuan semua roda hibrid. Motor elektrik yang dilengkapi dengan bateri 9.7 kWh lithium-ion dan digandingkan dengan kotak gear enam-kelajuan klac berkembar automatik tersebut membolehkan V40 bergerak dengan kuasa eleketrik sepenuhnya dalam jarak 50 km.

Spesifikasi ini adalah untuk model kompak Volvo. Untuk menjana model Siri 90 yang lebih besar, unit T5 Twin Engine tersebut mungkin tampil dengan spesifikasi yang berbeza.