Subaru-Global-Platform-1_BM

Fuji Heavy Industries (FHI) telah mendedahkan platform terbaharu Subaru untuk model mereka yang akan datang. Platform yang diberi nama Subaru Global Platform itu direka untuk model baru yang bakal dibina sehingga tahun 2025.

Platform baharu tersebut dikatakan mempunyai peningkatan prestasi keseluruhan yang ketara berbanding platform sebelum ini. Keteguhan pada badan platform ini sendiri telah ditingkatkan secara dramatik (peningkatan 70% hingga 100% berbanding terdahulu) dengan cara mengoptimakan struktur kerangka dan cantuman yang lebih kuat, serta lebih banyak penggunaan plat keluli tegangan tinggi serta material yang dibentuk dengan proses ‘hot press‘.

Aspek bunyi, getaran dan kekasaran (NVH) juga dapat diperbaiki dengan keutuhan yang dipertingkat, membolehkan pengagihan resonan dan herotan melalui badan yang lebih baik. Ini akan menghilangkan getaran yang banyak dari roda stereng, lantai dan tempat duduk.

Olahan yang dibuat pada sistem suspensi membolehkan pusat graviti (COG) pada platform ini lima mm lebih rendah. Pemasangan pada sistem suspensi yang lebih tegar pula membolehkan kebolehan menyerap hentakan yang lebih bagus, menghasilkan pemanduan yang lebih lembut dan selesa. Penstabil belakang dipasang terus pada badan untuk mengurangkan kadar olengan kurang 50% berbanding model terdahulu.

Keselamatan merupakan antara fokus utama pembangunan platform ini,oleh itu kebolehan menyerap tenaga ketika berlaku pelanggaran direka dengan lebih efisien. Subaru menyatakan peningkatan 40% dalam kebolehan menyerap tenaga pada platform terbaharu ini berbanding platform sebelumnya, dan ia bakal meningkat dari masa ke masa seiring dengan penggunaan material baru pada masa akan datang.

Akhir sekali, platform baharu ini juga direka agar selari dengan rekaan semua model baharu Subaru untuk masa akan datang. Ini turut termasuk dalam penyesuaian bukan sahaja unit janakuasa petrol, ia turut bakal dikuasakan dengan unit hybrid, plug-in hybrid dan elektrik sepenuhnya. Platform ini juga dibina agar ia boleh diproduksi dalam sebuah fasiliti produksi yang sama walaupun dengan komponen yang berbeza dan pelbagai varian model, berbanding model sebelum ini yang perlu diproduksi di beberapa kilang berbeza.

Subaru Global Platform bakal digunakan untuk pembangunan semua kenderaan baharu Subaru bermula sekarang, dimulakan dengan pembangunan generasi terbaharu Subaru Impreza yang bakal masuk ke pasaran akhir tahun ini. Impreza serba baharu tersebut telah ditampilkan sebelum ini, dengan varian konsep hatchback lima pintu dan sedan di Tokyo dan Los Angeles. Model lain akan diikuti kemudian termasuk crossover XV terbaharu, yang juga telah ditampilkan pada Geneva Motor Show 2016 awal bulan ini.

GALERI: Subaru XV Concept


GALERI: Subaru Impreza Sedan Concept

GALLERY: Subaru Impreza 5-Door Concept