biodiesel1

Kerajaan yakin mampu mengimplementasi program B10 biodiesel pada tahun ini, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Beliau berkata langkah itu sejajar dengan komitmen negara sebagai ahli Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOC) dengan Indonesia untuk meningkatkan penggunaan minyak sawit dalam biodiesel, laporan Bernama.

“Indonesia ketika ini melaksanakan B15 dan sedang beralih ke arah B20. Kita memaklumkan kepada mereka bahawa kita akan beralih kepada B10 sebaik sahaja kita merasakan ia praktikal,” katanya.

Beliau berkata kementerian ketika ini sedang mengadakan perundingan menyeluruh dengan semua pemegang kepentingan bagi memastikan penerimaan dasar yang akan dilaksanakan.

“Beberapa siri ujian perlu dilakukan dan perbincangan akhir akan diadakan untuk memastikan pelaksanaannya berjalan dengan lancar,” katanya.

Mengenai pelaksanaan program biodiesel Malaysia yang agak perlahan berbanding Indonesia, Uggah berkata situasi itu disebabkan oleh sistem struktur yang berbeza dalam kedua-dua negara serta kos yang terlibat dan bekalan stok minyak sawit mentah (MSM) yang tersedia.

“Kita mahu menjadi praktikal. Ini kerana kita merasakan B10 mencukupi buat masa ini memandangkan stok dan kos kita yang terlibat,” katanya.

Bagaimanapun, Uggah berkata, beliau yakin Malaysia memiliki kemudahan yang cekap untuk membuat adunan baharu biodiesel secepat mungkin selepas keputusan diambil.

“Berkaitan dengan kemudahan, Malaysia telah membina sistem yang cekap yang boleh mengadunkan biodiesel baharu ini dalam masa dua hari,” katanya.

Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.