ktm-komuter-2

Kini penumpang KTM Komuter tidak perlu menunggu tren dalam tempoh waktu yang lama pada waktu bukan-puncak, mulai Mei ini. Walau pun jadual pada waktu puncak masih kekal sama, iaitu setiap 15 minit ketibaan antara tren, frekuensi pada waktu bukan-puncak pula akan dipertingkatkan iaitu dari sejam menjadi selang setengah jam, menurut laporan The Star.

Operator rel berkata penjadualan semula ini bagi meningkatkan semula perkhidmatan pengangkutan awam ini dan ia membabitkan laluan Komuter di sekitar Lembah Klang. Walau bagaimana pun, penjadualan semula ini akan dilaksanakan secara berperingkat bermula Mei atau Jun, ujar Presiden KTM Datuk Sarbini Tijan.

Beliau turut menambah ini tidak bermakna dua laluan Komuter iaitu Seremban dan Pelabuhan Klang akan mengambil masa yang lama untuk trennya tiba di semua lokasi. Hanya sesetengah laluan sahaja yang terlibat dengan penjadualan semula ini, selebihnya masih bergerak seperti biasa.

“Kami melaksanakannya mengikut fasa demi fasa. Dalam masa-masa tertentu, kami jangkakan hanya 20% penumpang akan terjejas apabila mereka menggunakan perkhidmatan Komuter,” ujarnya. Laluan yang terlibat dalam penjadualan semula ini ialah Rawang-Batu, Batu-Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Klang-Salak Selatan.

Peningkatan perkhidmatan ini adalah sebahagian daripada projek jangka masa panjang yang dikenali sebagai peningkatan sistem dan infrastruktur Trek Berkembar Lembah Klang. Di mana ia melibatkan trek-berkembar rangkaian, pengisyaratan dan sistem komunikasi. Ini termasuklah perubahan pada komponen trek dan penaiktarafan sistem pengesan tren.