Lexus-ES-250-Luxury-3

Toyota Motor Corporation (TMC) telah mengumumkan panggilan semula di peringkat global yang membabitkan model Lexus ES dan RX ekoran masalah penggerak brek (brake actuator). Ia hanya melibatkan model yang dilengkapi dengan ABS, sistem Kawalan Cengkaman (TRC) dan sistem Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC), yang kesemuanya dikawal oleh penggerak brek.

Di mana terdapat kemungkinan sesetengah penggerak brek yang dipasang pada pam yang mengandungi lingkaran-O didapati rosak, yang boleh menyebabkan tekanan cecair brek tidak dapat dikawal secara sempurna apabila ABS, TRC dan VSC ini diaktifkan. Ia juga boleh menyebabkan kenderaan hilang kawalan kestabilan dan meningkatkan risiko kemalangan.

Namun, di Malaysia, UMW Toyota Motors telah mengesahkan hanya model ES sahaja yang terlibat dan tidak membabitkan model RX. Model ES yang terlibat adalah buatan dari tarikh September 2015 hingga Februari 2016. Menurut sumber TMC, sebanyak 90 unit yang diimport oleh Lexus Malaysia dan ia akan dipanggil semula untuk kempen ini.

Semua kos penggantian komponen dan buruh bagi kempen panggil semula ini akan ditanggung sepenuhnya oleh Lexus Malaysia. Lain-lain model Lexus di negara ini walau bagaimana pun tidak terbabit.

Lexus Malaysia akan memaklumkan pada semua pemilik yang terlibat dan bagi yang tidak mendapat sebarang notifikasi, diminta untuk menghubungi Lexus Malaysia di talian bebas tol 1800-8-LEXUS (53987) atau berhubung dengan mana-mana wakil jualan Lexus yang berhampiran.