2016-volkswagen-passat-us-model

Berikutan laporan Volkswagen yang akan mengeluarkan sejumlah USD$ 1 billion (RM3.89 billion) untuk membayar ganti rugi kepada pengguna di Amerika Syarikat, syarikat berkenaan kini disahkan telah mencapai “perjanjian dalam prinsipal” dengan pihak berkuasa yang terlibat dalam prosiding skandal dieselgate tersebut.

Firma undang-undang Amerika Syarikat yang terlibat dalam tindakan berkenaan adalah terdiri daripada Jabatan Keadilan (Bahagian Alam Sekitar), Agensi Perlindungan Alam Sekitar (EPA) dan Lembaga Sumber Udara California (CARB), dengan penglibatan sepenuhnya Suruhanjaya Perdagangan Persekutuan (FTC).

“Perjanjian dalam prisipal ini akan dimasukkan sekali ke dalam dekri persetujuan oleh Jabatan Keadilan dan FTC dalam masa beberapa minggu lagi,” menurut pengumuman yang dibuat tersebut. Syarat-syarat terperinci yang terkandung di dalam perjanjian itu belum lagi dimuktamadkan, dengan kenyataan dari syarikat berkenaan mengatakan hanya “ciri asas” dalam resolusi tersebut telah dipersetujui pada tahap ini.

VW jetta TDI US-spec

Syarat-syarat asas ini akan diletakkan di dalam penyelesaian yang lebih komprehensif yang akan didedahkan beberapa minggu lagi. Dalam erti kata yang mudah, Charles Breyer, hakim yang mengetuai kes ini mengalu-alukan perkembangan terbaharu tersebut.

Walau bagaimanapun, beberapa laporan mendakwa transkrip dari mahkamah mendedahkan beberapa perincian berkenaan ciri asas yang dipersetujui bersama oleh pihak Volkswagen dan pihak berkuasa Amerika Syarikat itu. Dokumen berkenaan menyatakan dianggarkan 480,000 buah kenderaan yang dilengkapi dengan enjin diesel 2.0 liter EA189 terlibat dalam kes ini, lebih rendah daripada anggaran asal sebelum ini yang menjangkakan sejumlah 600,000 unit.

Pemilik kenderaan-kenderaan ini juga mempunyai peluang sama ada untuk menjual semula kenderaan mereka kepada pengeluar, atau Volkswagen akan memperbaiki semula kenderaan tersebut sehingga ia mematuhi undang-undang emisi setempat. Pelanggan yang telah memajakkan kenderaan Volkswagen mereka dibenarkan untuk membatalkan pajakan tersebut dan memulangkan semula kenderaan itu kepada syarikat terbabit.