DS-4S-Beijing-2016-BM-1

DS 4S telah pun melakukan penampilan perdana secara rasmi di China sempena dengan Beijing Auto Show 2016 yang sedang berlangsung. Eksklusif untuk pasaran China, DS 4S ini diproduksi di kilang Shenzhen milik Citroen di negara berkenaan dan ini merupakan model ke-empat yang menyertai barisan DS di sana selain DS 5, DS 5LS dan DS 6.

Direka di Perancis, DS 4S ini tampil berbeza dengan DS4 dan DS4 Crossback yang terdapat di negara lain. Kelainan pada penampilannya jelas pada bahagian hadapan dengan lampu utama, bampar, lampu kabus dan jaluran LED baharu. Manakala lampu belakang pula lebih kurang dengan model DS3 dan juga memiliki bampar yang berlainan, disertakan dengan corong ekzos berkembar yang menyerlahkan imej sporty model ini.

Ditawarkan dengan enam pilihan warna iaitu Dark Fire Red, Silver Grey, Pearl White, Hickory Brown, Black Perla dan Whisper. Manakala lima kekemasan juga ditawarkan iaitu Comfort, Fashion, Luxury, Luxury Technology dan Prestige.

Seperti yang dilaporkan sebelum ini, DS 4S turut menampilkan papan pemuka dengan hasil kraftangan yang mengambil masa selama lapan jam untuk disiapkan, dan ia turut memperagakan “hasil seni penuh kemewahan Parsi”. Bahagian belakang juga telah menampilkan rekaan yang membuatkan ia mampu memberikan ruang dalaman yang lebih luas. Malah ia juga melibatkan jarak roda yang lebih panjang dan larasan suspensi yang dipertingkatkan.

Terdapat tiga enjin ditawarkan termasuk dua enjin 1.8 liter iaitu THP 160 dan THP 200, serta pilihan ketiga 1.2 liter pengecas turbo Puretech 130. Kesemua enjin turut dipadankan dengan kotak gear automatik EAT6.