BMW-360-Safety-programme-1_BM

BMW Malaysia dengan kerjasama Julia Gabriel Centre dan Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia (PPBM) telah menganjurkan Program Keselamatan BMW 360° edisi ketiga. Program yang bermula awal minggu ini sehingga 14 Mei nanti, dilangsungkan di Julia Gabriel Centre Citta Mall dan disasarkan kepada ibubapa dan kanak-kanak.

Program tersebut dijalankan untuk meningkatkan kesedaran dalam etika pemanduan di jalan raya dan juga teknologi keselamatan yang dilengkapi dalam kenderaan serta perkara-perkara yang perlu diketahui oleh ibubapa (pemandu). Usaha ini akan turut diadakan semasa cuti sekolah dan bulan Ramadan yang akan datang.

Ia dimulakan dengan Program Keselamatan Trafik selama seminggu, yang sekarang ini sedang berlangsung di Julia Gabriel Centre Citta Mall. Aktiviti yang terkandung dalam program tersebut adalah termasuk aktiviti bertemakan keselamatan jalan raya, yang mana ia telah digabungkan ke dalam beberapa silibus. Setiap silibus pula telah dibahagikan kepada enam bahagian.

Pada hari pertama, peserta telah diberikan pelajaran secara visual bertajuk ‘what’s on the road‘, manakala pada hari kedua diadakan pula aktiviti mewarna dengan tema ‘little messengers‘. Pada hari ketiga, aktiviti role-play bertajuk ‘stop,look and listen’ pula diadakan. Masuk hari keempat, diadakan pula aktiviti seni dan kraf dengan tema ‘we hold hands‘ dan pada hari kelima, aktiviti belajar dan bermain bertajuk ‘my car seat’ pula akan diadakan. Akhir sekali pada hari keenam, eksperimen praktikal tali keledar akan dijalankan.

Sementara itu pada program permulaan hari ini, PPBM telah menjalankan ceramah keselamatan, bersama dengan demonstrasi keselamatan kanak-kanak. Ini merupakan percubaan untuk menunjukkan dan menjelaskan kepada ibubapa bagaimana mereka boleh mengelakkan kesilapan dalam pemasangan tempat duduk kanak-kanak. Pemeriksaan kepada alat keselamatan kanak-kanak juga dijalankan untuk keluarga yang mempunyai tempat duduk kanak-kanak bagi memastikan pemasangan dan penggunaan yang betul dilakukan.

Topik yang dibincangkan dalam ceramah keselamatan hari ini yang disampaikan oleh May Hwong, perunding keselamatan penumpang kanak-kanak, termasuk kelebihan menggunakan tempat duduk keselamatan kanak-kanak dan juga kelebihan menggunakan tempat duduk kanak-kanak menghadap kebelakang serta jenis-jenis sistem keselamatan untuk penumpang kanak-kanak.

Selepas ini, BMW Malaysia akan menjalankan pula program enam-bulan yang melibatkan kunjungan syarikat tersebut ke tadika-tadika dan pusat-pusat Montesorri terpilih seluruh negara, untuk mengadakan program keselamatan BMW 360° yang sama. Buat masa ini, BMW Malaysia akan terus meningkatkan kesedaran kepada ibubapa berkenaan langkah-langkah keselamatan dalam kenderaan dan di atas jalan raya.