Shell FuelSave Euro 5 Diesel-6

Implementasi standard pelepasan Euro 5 untuk kereta penumpang dan kenderaan komersial ringan dijangka akan memberikan manfaat kepada Malaysia dalam masa terdekat, laporan Bernama.

Menurut Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, penggunaan Euro 5 ini menggalakkan penggunaan bahan api yang ditapis, sekali gus mengurangkan pelepasan karbon.

“Ia akan mengikut standard pelepasan Eropah di mana ia mendefinisikan had yang dibenarkan untuk pelepasan asap kenderaan yang bertujuan meningkatkan kualiti udara dan kesihatan. Kerajaan telah memutuskan untuk mengimplementasikan standard ini secara berperingkat dengan Euro 5 dilaksanakan menjelang 2025.

“Walau bagaimana pun ia memerlukan beberapa penyesuaian terutama oleh para pemain industri,” ujarnya kepada wakil media selepas menyampaikan ucapan pada seminar anjuran Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Malaysia semalam.

Seminar bertajuk “11th Malaysia Plan – Realising Green Growth: Sustainable and Resilient Infrastructure as the Game Changer” diadakan selepas pelancaran MyCREST, perkakasan rating kemampanan bertujuan untuk mengukur dan mengurangkan pelepasan karbon dalam sektor pembinaan.