2016-hyundai-tucson-driven-2.0-executive- 004

Hyundai Tucson generasi ketiga telah dilancarkan di Malaysia pada November tahun lalu oleh Hyundai-Sime Darby Motors dengan dua pilihan iaitu varian asas Elegance dan varian tertinggi Executive. Hadir dalam saingan pasaran SUV segmen-C bukanlah tugas mudah buat Tucson, ini kerana segmen tersebut semamangnya sudah dibanjiri dengan nama-nama gah seperti Honda CR-V, Nissan X-Trail, dan juga Mazda CX-5.

Adakah dengan status sebuah jenama dari Korea itu sendiri yang sering dikaitkan dengan permasalahan dari segi penyelenggaraan dan juga harga jualan balik yang rendah akan menenggelamkan Tucson dalam pasaran? Harus diingat, Korea juga terkenal sebagai penyedia teknologi alternatif, dalam teknologi telefon pintar misalnya, Samsung berjaya sebagai pesaing iPhone dengan menyediakan kebolehan yang hampir sama tetapi dengan harga yang lebih mampu milik.

Begitu juga dalam sektor automotif. Ketika era rekabentuk kereta Jepun mula kelihatan bosan sekitar tahun 2010, Hyundai dan Kia mula membuka mata dunia dengan rekaan yang lebih segar seperti model Hyundai Elantra, Sonata, Kia Forte dan Optima selain dari menawarkan ciri-ciri seperti sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin dan lampu LED pada harga yang lebih mampu milik.

2016-hyundai-tucson-driven-2.0-executive- 010

Tucson masih kekal dengan gaya Korea tersebut. Seperti dinyatakan tadi, model 2016 yang dipasang secara pemasangan tempatan (CKD) ini hadir dalam dua varian. Elegance dan Executive dilengkapi dengan unit janakuasa dan konfigurasi mekanikal yang sama tetapi dibezakan aksesori, ciri-ciri dan kelengkapan elektronik yang berlainan. Kami menerima varian tertinggi Executive untuk sesi uji pandu kali ini.

Pada bahagian luaran keseluruhan, rekaan Tucson menerapkan rekabentuk Fluid Sculpture 2.0 terbaharu Hyundai. Rekaan tersebut menampilkan bahagian hadapan menerima sepasang lampu hadapan LED tirus mengapit gril berbentuk hexagon bersalut krom yang besar. Ia turut dilengkapi dengan lampu nyalaan siang LED serta lampu kabus pada setiap sisi bampar hadapan (varian Elegance hanya menerima lampu projektor halogen, gril dengan kemasan silver, tanpa DRL dan lampu kabus). Kombinasi tersebut membuatkan muka Tucson ini agak seiras dengan Mazda CX-5 jika dilihat sekali imbas.

Bahagian sisi SUV ini pula menyaksikan ia dilengkapi dengan cermin sisi boleh-lipat berkuasa dengan lampu isyarat membelok dan lampu puddle bersepadu, serta kesemua pemegang pintu dilengkapi dengan kemasan krom (juga varian Elegence hanya dilengkapi dengan cermin sisi biasa dan pemegang pintu dengan warna badan). Roda aloi berdiameter 17-inci lima-jejari berkembar dengan tayar bersaiz 225/60R17 adalah standard untuk semua varian Tucson.

Lampu belakang juga direka dengan bentuk yang tirus. Sebuah spoiler dengan lampu brek ketiga dipasang pada bahagian atas. Lampu kabus pula ditempatkan pada setiap sisi bampar belakang, manakala di bahagian bawah turut dilengkapi dengan sepasang perumah tip ekzos walaupun hakikatnya Tucson hanya mempunyai sebuah tip ekzos sebenar yang terletak di bahagian kanan.

Dimensi Tucson diukur dengan panjang 4,475 mm, lebar 1,850 mm, 1,655 mm tinggi dan jarak roda keseluruhan 2,670 mm. Bagi memudahkan anda membayangkan saiz sebenar SUV dari Korea ini, ambil SUV segmen-C paling popular dalam pasaran – Honda CR-V – sebagai perbandingan, Tucson 115 mm lebih pendek, 30 mm lebih lebar, 30 mm lebih rendah dan jarak roda 50 mm lebih panjang. Walaubagaimana pun ruang kargo Tucson yang berkapasiti 488 liter adalah 101 liter lebih kecil dari CR-V yang berkapasiti 589 liter.

Ruang kargo ini juga dapat diakses dengan bukaan pintu tailgate 1,098 mm serta ruang kargo tambahan dengan kapasiti keseluruhan 1,478 liter jika tempat duduk belakang dilipat (nisbah 60:40) sepenuhnya.

Masuk kebahagian kabin, anda akan disapa dengan skrin instrumen Super Vision 4.2 inci TFT LCD yang memberikan pelbagai maklumat berkenaan SUV ini. Bahagian konsol tengah pula dilengkapi dengan skrin unit infotaiment dan navigasi yang diletakkan di bahagian atas konsol suis kawalan penghawa dingin manual zon tunggal dan diapit oleh sepasang liang penghawa dingin.

Apa yang menarik dengan sistem pemain utama unit infotainmen ini adalah, ia dibina dengan sistem berasaskan sistem Android Kitkat 4.4 yang membolehkan anda melayari internet dan menggunakan aplikasi sama seperti telefon pintar seperti Youtube, Waze, Facebook, Google Chrome mahupun permainan-permainan yang boleh dimuat naik dari Google Play Store.

Untuk nota, varian Elegance hanya dilengkapi dengan skrin TFT mono biasa 3.3-inci dan pemain utama skrin sesentuh dengan fungsi pemain DVD. Sambungan AUX, USB dan Bluetooth diletakkan di bahagian bawah panel suis penghawa dingin, sebaris dengan dua unit soket kuasa 12V dan turut diberikan cahaya lampu agar ia mudah untuk digunakan pada waktu malam.

Tombol gear diletakkan sebaris dengan tuil suis brek parkir eletronik (hanya pada varian Executive),suis brek auto hold, suis mod pemanduan (ECO, Normal dan Power) dan suis kawalan brek turun bukit, kesemuanya bersebelahan dengan dua buah pemegang cawan. Walaupun dengan dilengkapi dengan mod manual, saya jarang menggunakan ciri tersebut kerana kedudukan tombol gear yang terlalu kebelakang dan siku diganggu dengan perehat tangan, membuatkan saya tidak selesa menggunakannya.

Varian Executive juga dilengkapi dengan tempat duduk pemandu larasan berkuasa lapan-hala, cermin pandang belakang kromik elektronik dengan kompas, sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin dan juga kamera perakam keselamatan.

Roda stereng pelbagai fungsi dan upholstery balutan kulit berwarna hitam yang agak selesa adalah standard untuk semua varian, namun pembeli diberikan opsyen balutan kulit berwarna merah (RM1,288) dan white nappa (RM1,988).

Material yang digunakan untuk bahagian dalaman adalah setaraf dengan SUV buatan Jepun saingannya, tetapi agak hairan, balutan kulit pada panel pintu agak keras dan berbunyi seperti plastik tanpa balutan apabila diketuk.

Kadar kedapan bunyi juga agak baik, membolehkan pemanduan Tucson boleh dinikmati pada kadar NVH yang rendah. Ketika mencapai kelajuan sekitar 150-160 km/j, penumpang masih lagi boleh mendengar radio tanpa menaikkan suara dan juga berbual dengan ton suara biasa.

Kedua-dua varian Tucson dijana oleh enjin petrol 2.0 liter MPi “Nu” berkuasa 155 PS pada takat 6,200 rpm dan tork maksima 192 Nm pada takat 4,000 rpm. Kuasa dari enjin memacu kedua-dua tayar hadapan menerusi kotak gear enam-kelajuan automatik yang dibina oleh Hyundai sendiri.

Walaupun tanpa sistem pacuan empat roda yang kebiasaannya memberikan sekitar 150 kg beban tambahan pada SUV lain, Tucson agak ‘malas’ ketika memecut dan memotong terutama pada rpm pertengahan. Mujur kotak gear enam-kelajuan automatik tersebut mampu memberikan penukaran gear yang agak baik dan penyampaian kuasa dari enjin ke kotak gear juga dapat dirasakan dengan cepat.

Hyundai mendakwa Tucson mencatatkan pengunaan bahan api 7.9 liter untuk setiap 100 kilometer untuk kitaran perjalanan gabungan. Ketika memandu uji Tucson, saya memperolehi perjalanan sejauh 530 km dengan petrol penuh pada tangki yang berkapasiti 62 liter atau sekitar 11.7 liter untuk setiap 100 kilometer dengan laluan 40% di dalam bandar dan selebihnya di lebuhraya.

2016-hyundai-tucson-driven-2.0-executive- 031

Untuk sistem suspensi pula, Tucson dilengkapi dengan Topang McPherson di bahagian hadapan dan sistem suspensi bebas jenis multilink di belakang. Suspensi ini ditala dengan lembut bagi membolehkan pemandu dan penumpang menikmati keselesaan yang maksima. Suspensi ini memang selesa dalam erti kata sebenar, dengan memberikan serapan hentakan yang begitu baik.

Namun, talaan keselesaan tersebut terpaksa mengorbankan keseronokan memandu SUV ini terutamanya ketika dihidangkan dengan jalan berliku. Suspensi yang lembut membuatkan pengedalian SUV ini tidak tajam dan lincah. Ditambah dengan sistem stereng kuasa elektrik (MDPS) yang terlalu ringan, menyukarkan saya mengagak laluan ketika mengambil selekoh dengan kelajuan tinggi.

Tetapi anda tidak perlu bimbang kerana setiap varian Tucson dilengkapi Kawalan Stabliti Elektronik (ESC) dan Sistem Pengurusan Stabiliti Kenderaan (VSM) secara standard untuk memastikannya kekal melekat pada permukaan jalan.

Sistem keselamatan lain yang dilengkapkan secara standard pada kedua-dua model termasuklah sistem brek ABS dengan Bantuan Brek (BA), Kawalan Brek Turun Bukit (DBC), Kawalan Bantuan Mula Mendaki (HAC) serta kamera undur. Varian Executive dilengkapi dengan enam-unit beg udara dan penderia parkir pada bahagian hadapan dan belakang manakala varian Elegence hanya menerima dua-unit beg udara pada bahagian hadapan dan penderia parkir hanya pada bahagian belakang.

Tujuh warna ditawarkan untuk Tucson kedua-dua varian iaitu Pure White, Sepia Topaz, Pepper Grey, Platinum Silver, Ruby Wine, Ara Blue dan Phantom Black. Panel perlindungan di sekeliling badan kereta yang berwarna silver seperti unit yang kami uji ini adalah didatangkan secara opsyenal dengan harga RM1,988.

Hyundai Tucson 2.0 Executive dijual pada harga RM142,632 manakala untuk varian 2.0 Elegence yang lebih rendah ia dijual pada harga RM129,990. Semua harga yang disebut adalah harga atas jalan termasuk GST tanpa cukai jalan. Setiap pembelian disertakan sekali dengan waranti lima tahun atau 300,000 km (yang mana sampai dahulu).

Kesimpulan yang boleh dibuat, walaupun disaing hebat dengan SUV segmen-C buatan Jepun yang lain, Tucson masih mempunyai kekuatannya tersendiri seperti keselesaan,rupa bentuk keseluruhan dan juga unit infotainmennya. Jadi, untuk mereka yang bosan dengan pilihan stereotaip masyarakat Malaysia yang setia dengan SUV dari negara matahari terbit, Tucson mungkin adalah jawapannya.