Nissan_Xtrail_red_BM

Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) telah mengumumkan warna baharu bagi model Nissan X-Trail sempena dengan kedatangan Tahun Bahru Cina (CNY) iaitu merah yang dikenali sebagai Flaming Red yang membuatnya nampak lebih menyerlah.

Pengarah Pemasaran dan Perancangan Produk ETCM, Tan Keng Meng berkata, “Dengan memperkenalkan pilihan warna ini, kami percaya ia menambah kemeriahan untuk Nissan X-Trail sempena sambutan CNY. Apabila memandu sebuah X-Trail berwarna merah, digabungkan pula dengan penggayaan premium, kemampuan off-road dan teknologi tercanggih, ia memberi kenyataan bagi mempamerkan personaliti yang bertenaga, tidak takut menyahut cabaran dan dinamik.”

X-Trail boleh didapati di pasaran tempatan dalam dua varian iaitu 2.5L 4WD dan 2.0L 2WD. Model tertingginya, 2.5L 4WD dikusakan oleh enjin QR25DE-k2 dengan Twin CVTC yang mampu menawarkan kuasa maksimum 171PS pada 6,000rpm dan tork 233Nm pada 4,000rpm. Varian 2.0L 2WD pula menggunakan enjin MR20DD dengan sistem pancitan terus dan Twin CVTC, ia berupaya menjana kuasa sehingga 144PS pada 6,000rpm dan tork 200Nm pada 4,400rpm.

Ditawarkan dalam unit terhad, Nissan X-Trail dengan warna Flaming Red ini ditawarkan pada harga RM159,164.06 untuk 2.5L 4WD dan RM136,976.96 bagi varian 2.0L 2WD (harga di atas jalan termasuk GST tanpa insurans di Semenanjung Malaysia). Nissan X-Trail ini hadir bersama jaminan selama tiga tahun atau perbatuan sejauh 100,000km (mana-mana tiba dahulu).