A163931_large-e1463371611867_BM

Audi kini membawa teknologi pemanduan automatik selangkah lagi menuju realiti dengan mengemaskini sistem pada Audi A7 yang dilengkapi dengan sistem konsep tersebut untuk menjadi lebih bersopan kepada pemandu jalan raya yang lain. Diberi nama ‘Jack’, kereta tersebut didakwa bersifat lebih semula jadi terhadap situasi dan menunjukkan “kebolehan sosial”nya.

Beberapa pergerakan baharu yang di’pelajari’ dan diterapkan oleh ‘Jack’ termasuk memberikan sedikit ruang antaranya dengan lori semasa memotong, dan juga memberikan lampu isyarat membelok ketika mahu mengubah haluan dan terlebih dahulu mendekati garisan laluan, sama seperti yang pemandu manusia lakukan.

‘Jack’ juga kini mampu untuk membuat keputusan sama ada mahu memecut atau membrek apabila berhadapan dengan kereta lain yang masuk ke laluannya, bergantung pada profil pemandu yang dipilih dan tindakan yang mana paling sesuai diambil semasa menghadapi situasi sedemikian dalam adab yang paling harmoni untuk semua pengguna jalan raya. Sistem navigasi pada kereta tersebut juga kini akan memilih laluan yang lebih banyak bahagian yang membolehkan sistem pemanduan automatik ini digunakan, seterusnya membolehkan pemandu melepaskan tanggungjawab memandu tersebut dengan lebih kerap.

Fungsi pemanduan automatik berkenaan kini dikawal oleh pengawal pembantu pemandu berpusat (zFAS), yang menggunakan pemproses canggih untuk menilai kesemua isyarat dari semua penderia pada masa sebenar, membina model persekitaran kereta tersebut. Model tersebut mewakili situasi trafik terkini, dan membolehkan sistem itu mengira pergerakan seterusnya lebih awal.

Untuk membolehkan perkara ini dibuat, kereta dan infrastruktur perlu dihubungkan dalam satu modul informasi yang sama, untuk memaksimakan faedah pemanduan automatik di lebuhraya. Oleh itu, kementerian pengangkutan dan infrastruktur digital Jerman telah mengumumkan tapak ujian digital di Autobahn A9 bagi menyediakan kondisi yang ideal untuk menilai dan membina konsep dan ciri masa depan, bersama pengeluar automotif, industri IT dan pihak berkuasa Bavaria.

Dengan ini, Audi boleh meneroka lagi kebolehan jaringan antara kereta dan infrstruktur, atau komunikasi kereta-ke-X, dalam masa yang sebenar di bawah kondisi jalan raya sebenar. Contohnya, informasi pada papan tanda trafik pelbagai mesej boleh dihantar terus kepada kereta untuk membantu aliran trafik, dan bahu jalan boleh dibuka sementara kepada kereta dengan teknologi pemanduan sendiri.


Kilk untuk besarkan

Komunikasi antara kereta, sebaliknya, akan membolehkan kereta yang menghala ke arah yang sama melaporkan halangan dan kemalangan pada masa sebenar, seterusnya akan melaras semula kelajuan pada kereta pemanduan automatik yang lain. Audi sekarang ini sedang menguji elemen dari komunikasi 5G standard masa hadapan bersama rakan kongsi IT mereka untuk sistem sedemikian.

Infrastruktur itu sendiri juga turut memainkan peranannya. Rakan kongsi untuk tapak ujian digital di Autobahn A9, contohnya, telahpun berada di peringkat yang sangat jauh dalam menguji komposisi dalaman dan mengubahsuai struktur binaan pada pos-pos di tepi jalan untuk meningkatkan kadar reflektif gelombang radar dari kereta pada jarak yang sangat jauh, dan mengkaji tanda trafik khas yang membenarkan kenderaan ujian untuk menempatkan lokasi mereka dengan ketepatan yang tinggi pada garisan jalan.

Audi juga sedang menjalankan penyelidikan dan membina tapak ujian baharu di persimpangan keluar Ingolstadt-Süd Autobahn, kerana kadar kompleks pada situasi trafik di situ meningkat antara persimpangan keluar lebuhraya dan kawasan bandar. Bersama dengan bandar itu sendiri, Audi akan menguji kaedah pembinaan seperti penggunaan penderia pelbagai jenis pada pelbagai tempat di kawasan persimpangan, bermula 2017 dan ujian akan bermula pada 2018.

Sebelum ini, Audi telah menunjukkan kebolehan sistem pemanduan automatik mereka dengan Audi TTS tanpa pemandu ‘memanjat’ sendiri bukit Pikes Peak dan Audi RS7 yang berjalan sendiri dengan kelajuan sepenuhnya mengelilingi litar Hockenheim pada 2014 dan litar Sonoma Raceway tahun lalu. Audi juga turut menunjukkan ‘Jack’ yang beraksi di jalan raya awam, berjalan sejauh 885 km tanpa pemandu dari Silicon Valley ke Las Vegas pada 2015.

Audi mendakwa pemanduan sendiri akan meningkatkan keselamatan, lebih efisien dalam penggunaan infrastruktur pengangkutan dan memberikan pemandu lebih masa untuk berehat. Dalam menguji sistem ini juga membolehkan Audi menawarkan beberapa sistem untuk kereta produksi buat masa sekarang seperti fungsi bantuan pemanduan kesesakan trafik pada A4 dan Q7. Teknologi pemanduan sendiri ini dijangka akan ditampilkan pada Audi A8 generasi seterusnya yang akan dilancarkan pada 2017.