Kia_Sportage_HS_Ext-2

Selain Kia Sorento 2016, Naza Kia Malaysia turut melancarkan Kia Sportage 2016 untuk pasaran tempatan. SUV lima-tempat duduk ini pernah melakukan penampilan perdana di Frankfurt pada September lepas.

Varian pacuan roda-hadapan bagi generasi ke-empat QL ini bakal dipasarkan di Malaysia. Ia didatangkan dengan versi spesifikasi tertinggi GT Line dan varian asas KX Line.

Kedua-duanya dijanakan oleh enjin petrol 2.0 liter Nu MPI empat-silinder, dan dipadankan dengan transmisi automatik enam-kelajuan. Kuasa yang dihasilkan dari penjana kuasa ini ialah 155 PS pada 6,200 rpm dan tork 192 Nm pada 4,000 rpm.

Bagi dimensinya, ia lebih kurang sama dengan model generasi=ketiga SL iaitu 4,480 mm panjang (40 mm lebih panjang), 1,855 mm lebar dan setinggi 1,685 mm iaitu sama dengan model sebelum ini.

Walau bagaimana pun, jarak rodanya 30 mm lebih panjang iaitu 2,670 mm (dengan 20 mm lebih panjang bagi overhang hadapan dan 10 mm lebih pendek untuk bahagian belakang). Manakala ruang butnya pula berkapasiti 466 liter, dan mampu mencapai sehingga 1,455 liter sekiranya tempat duduk barisan kedua 60:40 dibaringkan.

Bagi kit standard untuk kedua-dua varian, ia tampil dengan lampu utama auto, kawalan audio pada roda stereng, pemilihan mod pemanduan (Eco, Normal dan Sport), lampu kabus belakang, antenna sirip jerung, corong penghawa dingin belakang, sistem hiburan JBL dengan lapan-pembesar suara bersama sambungan USB/AUX dan kamera pandang belakang.

Bagi senarai aspek keselamatan, ia didatangkan dengan enam beg udara (dua di hadapan, sisi dan tirai), pengurusan kestabilan kenderaan, bantuan mula mendaki, Isofix dan sistem pemantauan tekanan tayar.

Bagi varian 2.0 KX Line, ia dilengkapi dengan lampu utama projektor halogen dengan lampu nyalaan siang jenis mentol dan lampu kabus biasa, bagi kabinnya, ditampilkan dengan tempat duduk balutan kulit, roda stereng tiga-jejari, penghawa dingin manual dan larasan tempat duduk manual.

Ia turut tampil dengan butang penghidup enjin dan paparan Supervision LCD mono 3.5-inci pada kluster instrumen dan rim aloi 17-inci yang dibaluti tayar 225/60.

Bagi imej yang lebih bergaya, 2.0 GT Line ditampilkan dengan lampu kabus LED “kiub ais” dan rim aloi 19-inci yang dibaluti tayar 245/45. GT juga ditampilkan dengan lampu utama projektor HID (bersama pelarasan automatik), lampu nyalaan siang LED dan lampu belakang kombinasi LED.

Bertambah menarik dengan gril radiator ‘hidung harimau’ bersama kekamsan hitam berkilat, dan krom sutera termasuk pada bahagian aero blade hadapan, skid plate, ambang sisi pintu, pintu tailgate, jaluran tingkap dan kekemasan panel pintu (krom untuk KX).

Di bahagian dalamnya, GT dibezakan dengan tempat duduk balutan kulit, roda stereng balutan kulit potongan-D dengan logo GT Line dan tombol gear balutan kulit. Ia juga menampilkan penghawa dingin dua-zon, butang penghidup enjin,, pedal aluminium sport, dan paparan Supervisian LCD berwarna TFT 4.2-inci.

Varian ini juga menampilkan tempat duduk hadapan larasan kuasa lapan-cara, pengesan parkir hadapan, pedal penukar gear dan kaca solar untuk cermin hadapan dan sisi hadapan.

Sportage baharu ini didatangkan dengan pilihan warna Mercury Blue, Fiery Red, Snow White Pearl dan Mineral Silver. Ia ditawarkan pada harga RM121,888 untuk 2.0 KX Line dan RM141,888 untuk 2.0 GT Line. Ia turut didatangkan dengan waranti selama lima-tahun tanpa had perbatuan.

GALERI: Kia Sportage 2.0 GT Line