Subaru-Levorg-STI-Sport-05_BM

Subaru secara rasminya telah memperkenalkan Subaru Levorg STI Sport. Walaupun ia diberikan lencana ‘STI’, wagon ini hanya diberikan talaan semula pada bahagian suspensi dan menerima kit-kit kosmetik menampilkan imej yang lebih sporty.

Rombakan pada bahagian suspensi melibatkan pemadanan penyerap hentak Bilstein DampMatic II pada bahagian hadapan, bersama spring yang dipertingkatkan dan talaan keseluruhan sepenuhnya dilakukan pada bahagian suspensi tersebut. Levorg STI Sport menerima bampar hadapan baharu yang lebih tajam, rekaan gril hadapan yang berlainan serta set roda aloi baharu berdiameter 18-inci.

Keseluruhan badan Levorg STI Sport menerima semburan warna khas WR Blue Pearl. Pada bahagian dalaman pula, wagon ini menerima upholstery balutan berwarna Bordeux Red bersama kemasan-kemasan berwarna hitam. Juga di tampilkan perincian berupa lencana-lencana STI yang boleh dijumpai pada perehat kepala tempat duduk, roda stereng dan juga plat bendul sisi.

Tiada perubahan dilakukan pada bahagian enjin. Levorg STI Sport masih lagi dikuasakan dengan dua pilihan enjin sama ada enjin boxer 1.6 liter turbo berkuasa 168 hp atau enjin boxer 2.0 liter turbo 298 hp. Kedua-dua pilihan enjin tersebut dipadankan dengan transmisi CVT automatik dan kuasa dialirkan ke kesemua roda menerusi sistem pacuan semua roda Subaru Symmetrical All-Wheel Drive.

Subaru Levorg bakal dilancarkan di Malaysia pada pertengahan tahun ini. Dijangkakan, tiada pilihan enjin 2.0 liter untuk pasaran Malaysia di mana pelanggan disini hanya menerima enjin boxer 1.6 liter turbo dengan sistem pancitan bahan api terus berkuasa 168 hp/250 Nm dan dipadankan dengan kotak gear CVT Lineartronic Subaru.