Apollo Tyres Malaysia 1

Selepas bertapak di Thailand dan Indonesia, Apollo Tyres mengumumkan pembukaan pejabat operasinya di Malaysia. Setelah hab jualan dan pengedarannya dibuka di Bangkok untuk rantau ASEAN, pembuat tayar berkenaan kini memfokuskan untuk melebarkan pasarannya ke rantau tersebut.

Jenama tayar dari India ini mensasarkan bahagian pasaran lebih besar dalam pasaran tayar gantian di Malaysia yang kapasiti tahunannya dicatatkan pada 580,000 unit untuk radial trak dan bas serta 9.5 juta unit untuk tayar kereta penumpang biasa. Apollo kini sedang membina pasukan lengkap jualan dan servisnya untuk pelanggan di Malaysia.

Apollo hadir dengan siri Endurance yang dibuat khas untuk kegunaan trak dan bas yang menurut syarikat berkenaan telah pun diterima dengan baik oleh pelanggan di Malaysia. Begitu juga dengan siri tayar untuk kereta penumpang biasa yang mampu untuk memenuhi permintaan hampir 90% pasaran tayar dalam Malaysia, dimana setakat ini ia adalah salah satu pasaran terbesar dalam rantau ASEAN.

“Dengan kewujudan pejabat urusan kami di sini, dan sebagai sebuah entiti yang sah, dalam masa yang sama untuk memacu perkembangan keuntungan dalam pasaran ini, ia juga akan mendekatkan kami kepada pelanggan di Malaysia dan membantu kami memenuhi permintaan mereka kepada semua spektrum penggunaan,” kata Presiden Asia Pasifik, Timur Tengah dan Afrika, Apollo Tyres Ltd, Satish Sharma.