Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah melantik pakar untuk memeriksa pokok-pokok di sepanjang jalan Bandaraya tersebut, lapor The News Starits Times.
Datuk Bandar Datuk Seri Mhd Amin Nordin Abd Aziz berkata, pihaknya telah melantik ahli arbor yang akan ditugaskan dalam 16 pasukan kontraktor penyelenggara pokok, untuk memeriksa keadaan pokok-pokok tersebut sebelum langkah seterusnya diambil.
“Jumlah pokok yang diperolehi setakat ini hanyalah pokok-pokok yang dikenalpasti di tepi-tepi jalan. Proses untuk mengemaskini inventori pokok kami kini sedang berjalan. Angin yang sangat kencang bertiup pada petang Jumaat lalu merupakan kebimbangan utama pengguna jalan raya terutamanya ketika ia bertiup, walaupun DBKL telah menjaga dengan rapi, pokok-pokok tersebut tumbang kerana angin yang terlalu kencang.” kata Datuk Bandar itu dan turut menambah ahli arbor yang ditugaskan sudahpun memulakan tugas mereka sejak tahun lalu.
DBKL turut mengatakan pokok tumbang dilaporkan pada 39 lokasi ketika ribut petir berlaku Jumaat lalu, yang merosakkan kenderaan-kenderaan dan rumah-rumah di beberapa bahagian bandar di Jalan Klang Lama. Hujan lebat turut menyebabkan banjir kilat seterusnya membawa kepada sesesakan lalu lintas kerana kenderaan-kenderaan yang terkandas di Jalan Kemuja (berhampiran Jalan Bangsar), Jalan Duta, Jalan Semantan dan Batu Caves.