2016 Proton Perdana 2
Proton dilihat mampu memulihkan kembali imejnya dan mengorak langkah lebih cemerlang selepas berakhirnya campur tangan politik Tun Dr Mahathir Mohamad dalam syarikat tersebut, ujar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dalam majlis pelancaran Proton Perdana 2016 yang berlangsung pagi tadi, beliau berkata, akibat terlalu banyak campur tangan politik di dalam pengurusan strategik Proton hingga membabitkan pekerja dan model perniagaannya, syarikat tersebut dilihat kian goyah, laporan Bernama.

“Saya dengan sukacitanya ingin menyatakan bahawa terdapat perubahan besar di peringkat atasan Proton. Era campur tangan politik Tun Mahathir sudah pun berakhir. Kita dapat lihat akibatnya awal tahun ini. Sebuah syarikat pengeluar, yang sepatutnya menjadi kebanggaan negara, telah menghadapi keadaan yang amat menyulitkan,” katanya.

Bagi menyelamatkan Proton, khususnya melindungi para pekerjanya serta menjaga pendapatan dan mata pencarian rakan kongsi perniagaan syarikat itu, pihak kerajaan terpaksa campur tangan dan bersetuju memberikan dana bantuan sejumlah RM1.5 bilion secara bersyarat.

Katanya, “Kerajaan terpaksa campur tangan kerana kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi keutamaan kami. Kerajaan akan sentiasa memberi sokongan kepada pekerja dan pembekal Malaysia. Kami akan selalu berjuang untuk memastikan tiada siapa yang tercicir.”

Alami_Proton_-001

Beliau turut menambah sekarang adalah masanya untuk mengambil iktibar daripada perkara yang telah berlaku, serta melaksanakan langkah dan pembaharuan serius supaya Proton kembali berada di landasan betul untuk merealisasikan potensi sebenarnya sekali lagi.

“Pengurusan baharu Proton juga memberitahu saya bahawa mereka yakin pelanggan bukan sahaja akan menyukai penampilan menawan Perdana, malah akan tertarik dengan pemanduannya.

Biarlah kereta baharu ini dan pengurusan baharu Proton dihakimi melalui merit mereka.

“Saya tahu, kita semua ingin melihat mereka berjaya meningkatkan jualan, menerajui inovasi dan memastikan syarikat ini mempunyai masa depan yang cerah dari segi produk dan kesejahteraan warganya yang begitu gigih bekerja,” kata perdana menteri.

Pada 31 Mac lalu, Tun Dr Mahathir Mohamad telah melepaskan jawatannya sebagai Pengerusi PROTON, berkuatkuasa serta merta. Dalam masa yang sama, Tun Mahathir turut melepaskan jawatannya sebagai Pengerusi Group Lotus plc, anak syarikat milik penuh Proton. (Baca DI SINI sebab-sebab perletakan jawatan beliau).