Proton Tun Mahathir Interview 3

Perletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamed sebagai pengerusi Proton menjadi isu terhangat sejak kebelakangan ini. Ramai yang memberikan pendapat, sama ada sudut positif mahu pun negatif. Ini termasuklah dari beberapa menteri sendiri, antaranya Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan yang berkata Tun Dr Mahathir perlu menjawab mengapa syarikat automotif tempatan itu dilanda masalah kewangan yang serius walaupun berbilion wang rakyat sudah dibelanjakan terhadapnya.

Selain itu, presiden Persatuan Pengedar Proton Edar (PEDA) Armin Baniaz Pahamin, turut memberikan pendapatnya menerusi entri di laman blognya, Stay Tuned. Beliau berkata, kemelut yang melanda Proton bukanlah berpunca daripada Tun Mahathir, malah ia telah berlarutan sejak sekian lama iaitu ketika Proton di bawah seliaan Khazanah Nasional.

Kiri dan kanan, depan dan belakang, orang bercerita tentang isu ini. Namun tuan empunya badan sendiri, iaitu Tun Mahathir tidak berkata apa-apa mengenainya. Sehinggalah malam tadi, beliau memuat naik entri baharu di laman blognya, chedet.cc, menjelaskan sebab-sebab keputusan tersebut dibuat. Beliau memberikan gambaran tentang dirinya sebagai persona non grata (seseorang yang tidak diundang) dengan kerajaan, yang dilihat sebagai boleh menjejaskan masa depan Proton.

Tun Mahathir turut berkongsi wawasannya untuk menjernihkan semula suasana termasuk pandangannya berkaitan kewangan Proton serta hal-hal berkaitan, antaranya pemberian geran, cukai dan insentif lain. Menurut beliau, “Proton telah membayar Kerajaan lebih daripada apa yang dibantu oleh Kerajaan terhadap Proton.”

Malah bekas pengerusi Proton itu turut menggambarkan betapa pentingnya Proton yang banyak memberikan peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia sama ada secara langsung atau tidak langsung (vendor). Beliau turut memberikan perincian mengenai kepayahan Proton untuk memasuki pasaran asing, disebabkan pelbagai tarif dan sekatan bukan-tarif yang ditetapkan di atas sana.

Menerusi catatannya, ia turut memberikan respons daripada kenyataan yang dikeluarkan oleh menteri MITI, Datuk Seri Mustapa Mohamed. Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada tarikh 1 April 2016, Mustapha berkata, model perniagaan sedia ada Proton tidak mampan dan kerajaan akan membuat pertimbangan sebelum memberikan lebih banyak bantuan.

Berikut merupakan kenyataan daripada blog Tun Mahathir:

Saya rasa saya berhutang penjelasan untuk anda semua tentang mengapa saya meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Proton.

Saya tidak disingkirkan oleh pengurusan Proton atau pemiliknya. Saya menentukan (keputusan ini) bersendirian, demi Proton saya harus meninggalkan. Lantarannya saya tiada dendam terhadap Proton ataupun saya mahukannya gagal selepas saya pergi.

Ini kerana nampaknya Proton akan berhadapan kesusahan dengan Kerajaan, dan untuk sebab yang tidak diketahui, jualan kereta-kereta Proton telah jatuh menjunam.

Saya tahu saya persona non grata dengan Kerajaan. Saya tidak mahu untuk menjadi punca ketidakupayaan Proton pulih disebabkan oleh kehadiran saya.

Saya sebenarnya mahu melihat Proton pulih dan melakukan dengan baik.

Jadi, tolonglah, pemilik-pemilik Proton dan pembeli, jangan kerana saya tidak lagi pengerusi, anda tidak menyokong Proton. Tolonglah teruskan menyokong Proton.

Proton mempunyai banyak idea terbaik untuk memperkenalkan model baharu dengan kualiti yang bagus. Bulan ini, Perdana baharu bakal dilancarkan. Tahun ini juga, Persona dan Saga baharu akan dilancarkan.

Proton tidak boleh mengharapkan apa jua bantuan daripada Kerajaan.

Hanya pemilik dan penggemar Proton sahaja yang boleh membantu Proton. Jadi, tolonglah membantu Proton, pengeluar kereta nasional anda.

1. Saya tidak lagi Pengerusi Proton. Bagaimanapun saya rasa keperluan untuk menyatakan fakta.

2. Pertama, Proton kini menjadi milik persendian selepas ia dibeli pada harga RM5.50 sesaham (harga asalnya RM2.95 tetapi bidaan menjadikan harganya tinggi), sebahagian besarnya dari Khazanah dan beberapa pemegang saham lain. Khazanah sepatutnya memegang saham untuk Bumiputra tetapi sekarang mewakili Kerajaan. Proton bukan GLC (Government Linked Company/Syarikat Berkaitan Kerajaan).

3. Dasar Kerajaan dahulunya, adalah untuk menggalakkan (penggunaan) kandungan tempatan. Semua kereta yang diperbuat atau dipasang di Malaysia berhak mendapat rebat bagi duti eksais berdasarkan peratusan kandungan tempatan yang digunakan. Kebanyakan kereta-kereta asing yang dipasang di Malaysia mempunyai 30-40% kandungan tempatan. Proton mempunyai hampir 90% kandungan tempatan. Lantaran itu, rebat untuk Proton adalah lebih tinggi. Ia bukan satu keistimewaan untuk Proton sahaja. Semua kereta tempatan dan asing menikmati keistimewaan ini. Kandungan tempatan meningkatkan kos mengeluarkan kereta. Ini adalah kerana elaun pemotongan oleh syarikat asing selalunya lebih rendah dari kos komponen tempatan.

4. Kerajaan mendakwa telah menyediakan bantuan, pelbagai bentuk bantuan serta pencukaian kira-kira RM13.9 bilion dalam keseluruhannya.

5. Kebanyakannya terdiri daripada cukai tetap. Rekod Proton adalah seperti berikut:
(1) RM1,320 juta sebagai cukai insentif kepada Proton yang juga layak diperoleh bagi kereta bukan-nasional.
(2) RM773.8 juta bagi Geran G&D, geran khas, pakej rangsangan, yang layak diperoleh bagi semua pengeluar automotif.
(3) RM12,532.6 juta untuk insentif tempahan, juga layak diperoleh semua pemain industri automotif.
Jumlah sumbangan Kerajaan dari 1985 – hingga ke tarikh berjumlah RM14,631.4 juta.

Perincian (1), (2) and (3) dilampirkan.

Jumlah sumbangan Proton kepada Kerajaan sejak 1985 keseluruhan berjumlah RM24,905 juta.
Ini terdiri daripada:
(i) Duti eksais dari 1985 ke atas – RM11,785 juta
(ii) Cukai jualan dari 1985 ke atas – RM9,470 juta
(iii) Cukai korporat dari 1985 ke atas – RM1,410 juta
(iv) Duti import dari 1985 hingga 2008 – RM1,403 juta
(v) GST dari 1 April 2015 – RM28 juta

Jumlah keseluruhan: RM24,095 juta

Ternyata, Proton telah membayar lebih kepada Kerajaan berbanding yang diberikan oleh Kerajaan kepada Proton.

Suntikan modal oleh Kerajaan dalam dua buah dana berjumlah RM400 juta. Ini telah dibayar sepenuhnya. Di mana, Proton telah dibiayai sepenuhnya bagi kilang Tanjung Malim berjumlah RM1.8 bilion dari akaun-akaun syarikat, tapi yang mengejutkan sebenarnya dana dalaman Proton memiliki sejumlah RM4 bilion.

6. Sebagai tambahan, Proton telah membuka peluang pekerjaan kepada 12,000 pekerja secara langsung dalam satu masa, dan lebih 250,000 secara tidak langsung. Proton juga telah mengurangkan pengaliran dana mungkin berjumlah lebih daripada RM100 bilion.

7. Para vendor turut mendapat peluang pekerjaan dan ini mengurangkan pengaliran bagi dana.

8. Kita boleh melupakan pembangunan keupayaan kejuruteraan sebagai dasar kita sekarang iaitu mahu menggalakkan import.

9. Secara kebetulan, semua negara yang mengeksport kereta ke Malaysia melaksanakan tarif dan sekatan bukan-tarif, mengakibatkan pengecualian pengimportan Proton ke dalam negara mereka. Ini berbeza dengan dasar kita yang membenarkan kereta-kereta asing masuk Malaysia tanpa sekatan atau had minimum.

10. Ia seharusnya dinyatakan bahawa Proton perlu bersaing dalam pasaran domestiknya sendiri terhadap jenama asing seperti Toyota (10 juta unit kereta setahun), pembuat-pembuat kereta Korea Selatan (lima juta buah kereta setahun), pembuat-pembuat kereta Jerman (enam juta buah kereta setahun) dan lain-lain.

11. Syarikat ini masih mampu biarpun (mungkin) kehilangan kereta mereka di Malaysia dan mendapatkannya semula di pasaran lain. Selain skala ekonomi, Proton tidak memasuki pasaran asing kecuali di negara-negara miskin dengan Jumlah Keseluruhan Industri rendah.

12. Hari ini Kerajaan sudah tidak ada harga diri dalam menghasilkan produk buatan nasional. Import lebih murah dan terdapat lebih ramai pengguna daripada pengeluar. Dalam sebuah demokrasi, jumlah diambil kira. Jadi menyenangkan dengan lebih banyak adalah lebih penting daripada keupayaan negara untuk membangunkannya.