tokpa-iriz-ev-1

Selepas membuat keputusan drastik berhubung dengan penukaran pucuk kepimpinan tertinggi Proton Holdings termasuk peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamed selaku Presiden Proton, isu ini turut mendapat perhatian Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Menterinya Datuk Mustapa Mohamed berkata Proton memerlukan masa yang lama untuk berfikir dan seterusnya melakukan tindakan serta kembali kepada pelan perancangan awalnya sewaktu mula beroperasi dahulu.

Menurut Mustapa, model perniagaan sedia ada Proton tidak mampan dan kerajaan akan membuat pertimbangan sebelum memberikan lebih banyak bantuan. Di mana katanya, sehingga kini lebih RM13 bilion bantuan termasuk geran dan pelepasan cukai telah diberikan kepada Proton sejak 1983, laporan Astro Awani.

Tegasnya, perlindungan yang selama ini diberikan kepada Proton, harus dihentikan.

MITI turut mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung perkara ini termasuk menyebut penguasaan pasaran Proton menurun dari tahap tertinggi 74% pada 1993 ke paras terendah iaitu 15% ketika ini dan Proton tidak mempunyai pasaran yang luas.

Memetik daripada laporan Berita Harian, Mustapa berkata, “Proton juga menghadapi masalah apabila aset mereka tidak diguna pakai sepenuhnya. Ketika ini syarikat memiliki dua pusat pengeluaran yang beroperasi pada kadar 35% daripada tahap optimum. Keputusan untuk membuka dua pusat pengeluaran mungkin antara kesilapan lampau Proton.

“Kira-kira tiga tahun yang lalu, Proton hampir menjalin kerjasama dengan syarikat automotif asing terkemuka namun mereka menarik diri pada saat akhir. Sekiranya kerjasama ini terjalin dan berjalan lancar, Proton kini mungkin berada pada kedudukan yang lebih baik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Proton LHD Preve to Chile 11

Beliau menegaskan, untuk kerajaan terus membantu Proton, empat syarat harus dipenuhi. Ini termasuklah mencari rakan asing strategik baru dan pengurusan syarikat yang lebih baik. Selain itu, syarat lain termasuk tiada campur tangan dalam perniagaan.

Beliau menegaskan, syarat-syarat lain yang ketat juga akan dikenakan untuk kelangsungan Proton pada jangka masa panjang.

Tambahnya, dengan situasi harga minyak yang rendah, kerajaan tidak mampu untuk meneruskan bantuan kepada Proton.

Beliau turut dimaklumkan bahawa terdapat tindakan yang tidak profesional dalam membuat keputusan di Proton. Susulan itu, beliau ingin Proton turut melantik kumpulan pengurusan yang lebih sesuai.

Kenyataan ini dibuat susulan perbincangan antara MITI dan kumpulan pemimpin tertinggi Proton dalam enam bulan lepas tentang masa depan syarikat. Pelbagai pembentangan telah dilakukan oleh pihak Proton kepada Majlis Ekonomi Negara yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pelan penstrukturan semula itu bertujuan meningkatkan kualiti kereta, merancakkan lagi eksport dan menjadikan Malaysia sebagai hab industri automotif di rantau ini.

“Susulan pengambilalihan Proton oleh DRB-Hicom Bhd pada tahun 2012, pemilik baharunya bertemu saya dan berkongsi pelan penstrukturan mereka untuk menjadikan syarikat automotif ini lebih kompetitif dan strategi untuk meningkatkan eksport. Bagaimanapun, Proton gagal memenuhi kehendak Dasar Automotif Nasional (NAP) 2009 yang menggariskan bahawa ia harus menjalin kerjasama strategik dengan syarikat asing,” ujarnya dalam kenyataan tersebut.

Beberapa vendor Proton turut menyuarakan masalah. Berikutan itu kerajaan telah menyuntik sebanyak RM100 juta bagi pinjaman mudah bagi mengurangkan beban vendor. Namun disebabkan tahap pengeluaran dan jualan Proton ketika ini, ramai vendor masih berhadapan dengan masalah dan dikhuatiri akan gulung tikar dalam tiga hingga empat bulan akan datang.

Dalam masa yang sama, kerajaan turut menghormati keputusan Tun Dr. Mahathir yang melepaskan jawatan sebagai Presiden Proton bagi memberikan nafas baharu dan membuka potensi sebenar Proton.

Empat syarat kerajaan kepada Proton :

1. Proton perlu segera kenal pasti rakan strategik asing.
2. Syarikat perlu diuruskan secara profesional.
3. Tiada campur tangan dalam perniagaan.
4. Langkah tegas tingkatkan daya saing jangka panjang.