biodiesel1

Penjualan biodiesel B10 (adunan 10% minyak kelapa sawit metil ester dengan 90% diesel petroleum) menggantikan biodiesel B7 bermula awal bulan ini menjadi agak kontroversi kerana kesesuaian penggunaannya pada enjin diesel terkini, terutamanya pada enjin-enjin yang direka untuk beroperasi dengan diesel rendah sulfur seperti Euro 5 dipersoal.

Penjualan biodiesel B10 ini adalah hasil program biodiesel Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) selari dengan polisi Dasar Bahan Api Bio Negara.

Sebagai tindak balas implementasi biodiesel B10 ini pada sektor pengangkutan, Persatuan Automotif Malaysia (MAA) telah menghantar surat kepada Kementerian Perdangangan Antarabangsa dan Industri (MITI), mendakwa penggunaan biodiesel bergred lebih tinggi dari B7 akan menyebabkan asid tebal metil ester (FAME) bercampur dengan minyak pelincir, seterusnya menyebabkan minyak pelincir tersebut menipis dan berkemungkinan besar menghasilkan enap cemar (sludge) di dalam enjin.

Surat dari MAA tersebut turut menyatakan majoriti ahlinya telah dinasihatkan oleh prinsipal mereka bahawa waranti enjin tidak akan diberikan kepada kenderaan yang menggunakan adunan biodiesel lebih tinggi dari B7. Pengeluar komponen sistem pancitan bahan api diesel yang terdiri dari Robert Bosch, Denso Corporation, Delphi Diesel System dan Continental Automotive turut menyatakan sistem pancitan bahan api mereka direka untuk beroperasi menggunakan biodiesel B7 menurut standard EN14214:2009.

Isu lain yang dibangkitkan termasuk pembentukkan deposit pada pemancit, pancitan yang tidak varian dan pengurangan kestabilan kitaran melahu. Kadar air yang lebih tinggi juga bakal terbentuk dalam bahan api dan seterusnya akan menyebabkan pengaratan dalam sistem penghantaran bahan api.

biodiesel 1

Satu lagi masalah yang turut merisaukan MAA ialah metil ester minyak sawit (PME), iaitu salah satu komponen binaan dalam minyak sawit yang mempunyai kecenderungan menjadi mendakan pada suhu rendah, bergantung pada jumlah monogliserid di dalam PME.

Biodiesel B7 telah diperkenalkan di Malaysia pada Disember 2014, dan dipasarkan di seluruh negara sepenuhnya pada Disember 2015. MAA mendakwa masih belum dapat dipastikan kesan sebenar penggunaan dalam jangka masa panjang biodiesel pada kenderaan tempatan. MAA turut memohon untuk menjadikan B7 sebagai alternatif selain B10 di stesen-stesen minyak, dan mengatakan ahlinya mungkin tidak boleh memperkenalkan enjin diesel Euro 4 dan Euro 5 yang lebih bersih.

MAA turut mengatakan pengeluar kenderaan mengesyorkan penggunaan Minyak Sayuran Rawatan Hidro (HVO) iaitu campuran hidrokarbon berparafin, bebas dari sulfur dan bau, serta nombor setana yang lebih tinggi, untuk adunan biodiesel lebih dari B7. HVO turut menawarkan lebih banyak kelebihan berbanding FAME seperti pengurangan pencemaran NOx, penyimpanan yang lebih stabil serta bentuk yang lebih baik pada suhu sejuk.

Menyanggah dakwaan-dakwaan tersebut, Persatuan Biodiesel Malaysia (MBA) berkata, tiada masalah pada enjin untuk kenderaan yang menggunakan biodiesel dengan adunan lebih tinggi dari 7%. Kenyataan tersebut dibuat selepas kebimbangan yang dinyatakan oleh pengeluar-pengeluar kenderaan berhubung implementasi biodiesel B10 untuk sektor pengangkutan di Malaysia.

2016 Malaysian Bio-diesel Camerons drive - 2

Antara penjelasan yang dibuat adalah biodiesel boleh digunakan di kawasan tanah tinggi seperti Cameron Highlands di mana cold filter plugging point (CFPP) biodiesel B10 dicatatkan di bawah 12 darjah selsius iaitu suhu paling rendah dicatatkan di Cameron Highlands, dan mendakan pada PME adalah lebih dibimbangi dalam kawasan beriklim sederhana berbanding negara bercuaca tropika seperti di Malaysia.

Menurut MBA lagi, penggunaan biodiesel B10 mempunyai kelebihan untuk meningkatkan pelinciran pada diesel Euro 5 yang mempunyai kandungan sulfur lebih rendah. Difahamkan pengecualian akan diberikan pada stesen minyak di kawasan tanah tinggi iaitu di Cameron Highlands, Genting Highlands dan Kundasang di Sabah, untuk penjualan biodiesel B10 ini.

Kesan jangka masa panjang penggunaan biodiesel B10 ini masih belum jelas, walaupun pihak MBA telah menguji kenderaan yang menggunakannya untuk menyangkal kegusaran yang dibangkitkan. Apa yang pasti, Malaysia sudahpun mengimplementasikan penjualan diesel B10 di stesen minyak seluruh negara.

Antara negara lain yang telah menggunakan biodiesel dengan gred lebih tinggi dari B10 adalah Indonesia (B20), Colombia dan Argentina (B10), serta Brazil dan Perancis (B8), manakala beberapa negeri di Amerika Syarikat telah menjual biodiesel dengan gred sehingga B10.