Honda Malaysia mengumumkan sebanyak 147,894 unit kenderaannya terlibat dengan kempen panggilan balik (recall) untuk menggantikan inflator beg udara bahagian penumpang hadapan buatan Takata.

Model yang terlibat dengan kempen ini ialah Accord (tahun buatan 2003-2011), City (2009-2011), Civic (2007-2011), CR-V (2008-2011), Freed (2009-2011), Insight (2011), Jazz (2009-2011) dan Odyssey (2004-2008).

Penggantian komponan terbabit adalah sangat diperlukan bagi memastikan keselamatan para pemandu dan penumpangnya. Kos penggantian komponen terbabit termasuk kos buruh adalah ditanggung oleh pihak Honda Malaysia sendiri.

Para pemilik model kenderaan yang terlibat akan dimaklumkan oleh pihak Honda dalam jangka masa terdekat ini. Malah boleh juga menghubungi talian bebas tol Honda di 1-800-88-2020 atau larari www.honda.com.my, atau segera berkunjung ke mana-mana pusat serbis Honda bertauliah untuk pemeriksaan lanjut.

Walau bagaimana pun Honda Malaysia mengesahkan model-model baharunya di pasaran tidak terlibat dengan masalah ini.

Senarai model Honda dan tahun buatan yang terlibat adalah seperti berikut:

Honda_Malaysia_recall

Sehingga kini, terdapat 13 kematian telah diumumkan di seluruh dunia akibat kegagalan beg udara Takata ini, termasuk dua kes yang berlaku baru-baru ini di Malaysia.

Di mana Kedua-dua kemalangan yang berlaku di negara ini menyebabkan kematian tragik kepada pemandu. Kemalangan pertama dilaporkan pada 16 April tahun lalu yang berlaku di Sabah. Honda telah mengesahkan pemeriksaan yang dilakukan bersama Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menemui inflator beg udara Takata SDI bahagian pemandu telah pecah dalam kemalangan yang melibatkan Honda City 2006.

Kereta tersebut adalah tersenarai dalam panggilan semula oleh pihak Honda Malaysia yang diumumkan pada 21 Mei 2015, yang memerlukan unit inflator beg udara Takata SDI bahagian pemandu tersebut ditukar.

Kemalangan kedua pula berlaku pada 1 Mei 2016 di Kedah. Hasil pemeriksaan yang dilakukan bersama PDRM menemui inflator beg udara Takata SDI bahagian pemandu telah pecah dalam kemalangan yang melibatkan Honda City 2003.