Malaysia-Taxi-02

Garis panduan bagi menyelaraskan perkhidmatan teksi, Uber dan Grabcar perlu diwujudkan segera bagi mewujudkan keseimbangan dan persaingan sihat di antara operator servis berkenaan. Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) berpendapat peraturan baharu yang akan diperkenal kerajaan terhadap perkhidmatan Uber dan Grabcar diyakini mampu mewujudkan keseimbangan terhadap ekosistem perkhidmatan awam negara.

Menurut Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid Albar, usaha merangka peraturan terhadap perkhidmatan aplikasi itu yang dibuat kerajaan ketika ini adalah bagi memastikan semua perkhidmatan yang ditawarkan di negara ini dipantau undang-undang, laporan Berita Harian.

“Ternyata perkhidmatan Uber dan Grabcar makin diminati dan menjadi pilihan ramai. Mungkin kerajaan akan membenarkannya, namun peraturan akan dibuat supaya tiada pihak yang berada pada keadaan yang berbeza (terlepas daripada peraturan perkhidmatan pengangkutan). Peraturan ini nanti akan wujudkan keseimbangan,” katanya yang enggan memperincikan bentuk peraturan yang akan diperkenal itu.

Tambahnya lagi, SPAD begitu mengalu-alukan sebarang bentuk perkhidmatan yang menggunakan aplikasi kerana ia terbukti memudahkan, selain sudah berkembang di seluruh dunia.

“Memandangkan teknologi ini semakin berkembang di seluruh dunia, kita menjemput sesiapa yang ingin beroperasi menggunakannya namun harus mengikut undang-undang yang akan ditetapkan,” ujarnya lagi.

Beliau turut mengulas mengenai insiden sekumpulan 50 lelaki dipercayai pemandu teksi yang berang terhadap kemunculan pemandu perkhidmatan Uber di KL Sentral baru-baru ini. Katanya, ia satu tindakan yang mengecewakan dan pemandu teksi tidak seharusnya bertindak keterlaluan.

“Makin kamu sekat, makin ramai orang nak guna. Kita jangan bertindak di luar batas, mogok di jalan pun akhirnya menyusahkan orang, jalan sesak. Kerajaan sedang lakukan tindakan terhadap perkhidmatan Uber dan Grabcar, kita tunggulah keputusannya nanti,” katanya.