Petronas

Program ‘Go-To-Safety-Points’, tempat bagi orang ramai mendapatkan bantuan kecemasan di stesen Petronas, akan diperluas ke seluruh negara.

Menurut Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar, program yang dianjurkan oleh Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama Petroliam Nasional Berhad (Petronas), kini dilaksanakan di 512 stesen, laporan Bernama.

“Selain itu, program PDRM di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) juga bakal diperluas ke stesen BHP dan Caltex tidak lama lagi,” ujarnya kepada pemberita ketika melancarkan program ini.

Pihak polis akan memberikan latihan yang spesifik kepada pengusaha stesen petrol dan penyelia yang terbabit bagi program ini. Menurut Khalid, mereka ini diharap mampu membantu orang ramai dalam situasi kecemasan.

Antara modul latihan yang bakal diberikan termasuklah pertahankan diri, memberkas penjenayah, mengendalikan mangsa yang dalam trauma dan menghulurkan bantuan yang sewajarnya. Program ini bukanlah pertama kali diadakan. Sebaliknya, ia telah pun dimulakan pada tahun 2014 yang membabitkan inisiatif oleh stesen minyak Shell dan Petron.