Klik untuk besarkan perincian mata demerit Kejara

Kerajaan dijangka akan memulakan implementasi Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) dan Sistem Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (KEJARA) tahun ini, lapor The Sun Daily.

Menurut Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai, kedua-dua sistem berkenaan akan berkuatkuasa sejurus selepas menerima kelulusan Kabinet. “Kami akan mengimplementasi sistem AWAS dan Kejara bersama,” kata beliau, tetapi tarikh jangkaan bila ia akan dilaksanakan masih belum diketahui.

Beliau menambah, sistem-sistem ini adalah berkaitan dengan pindaan yang dilakukan pada Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang dibuat pada Mei lalu. Walau bagaimanapun penguatkuasaannya telah ditunda kerana masalah teknikal, dan implementasi sistem berkenaan turut terpaksa ditangguhkan.

Dalam perkara berasingan, ‘Ops Bersepadu’, yang dilancarkan oleh Liow akan berkuatkuasa bermula 29 Jun hingga 13 Julai. Semasa operasi yang dijalankan diseluruh negara itu berjalan, pemandu bas akan dikenakan ujian air kencing, dan pegawai penguatkuasa turut akan menjalankan pemeriksaan pada bas-bas terbabit.

Had laju pada jalan persekutuan juga turut akan dikurangkan dari 90 km/j ke 80 km/j manakala had laju untuk jalan negeri pula diturunkan dari 80 km/j ke 70 km/j. Pengguna jalan raya juga turut dinasihatkan agar tidak menggunakan telefon bimbit semasa memandu dan mematuhi semua undang-undang jalan raya.