13517637_10205833386428218_6675654982331502527_o

Sejak semalam tersebar viral di laman media sosial Facebook mengenai foto model wagon yang dimuat naik oleh Zainul Azraai. Pelbagai respons dari orang ramai berkenaan dengan model wagon yang nampaknya menggunakan Saga sebagai platformnya.

Kebanyakan di antara mereka memberikan pendapat ia wajar untuk dibangunkan jika berbentuk wagon. Namun jika ia dilahirkan sebagai MPV, ramai yang mengatakan saiznya yang kecil (berbanding Exora) dan ia nampak tidak bersesuaian.

Kami cuba mendapatkan maklumat lanjut mengenainya dari Proton sendiri. Menurut sumber dalaman Proton, model prototaip wagon ini adalah sebagai kajian permulaan, namun buat masa ini, ia tidak ada dalam perancangan untuk dibangunkan.

“Proton sudah memiliki terlampau banyak model, jadi kena merasionalisasikannnya. Lagi pun Proton tidak pernah membuat sebarang pengumuman untuk varian ini (wagon),” ujar sumber terbabit.

Jadi nampak gayanya, model ‘Saga wagon’ ini sekadar di peringkat kajian permulaan sahaja, dan Proton ternyata tiada perancangan untuk membangunkannya. Lagi pun pastinya Proton sedang sibuk dengan persiapan untuk model baharu bagi Persona, Saga dan MPV-B (Ertiga), yang telah disahkan bakal dilancarkan pada tahun ini.

Apa pendapat anda, adakah model wagon ini patut berada dalam senarai model yang bakal dibangunkan oleh Proton? Kongsikan bersama kami.