Op Selamat 9 sempena Aidilfitri ini yang telah pun memulakan operasi sejak dua hari lalu turut mdiwujudkan empat subtek (pusat operasi) di empat zon utama negara bagi membantu kelancarannya.
Menurut Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Datuk Mahamad Akhir Darus, empat subtek berkenaan dibahagikan kepada Zon Utara di Sekolah Latihan Asas Sungai Petani, Kedah; Zon Tengah di Batalion (Bn) 3 Pasukan Gerakan Am (PGA), Bidor, Perak; Zon Selatan di Bn 6 PGA Bakri, Muar, Johor dan Zon Timur di Bn 7 PGA Bukit Galing, Kuantan, Pahang.
Laporan Bernama turut menyebut, keempat-empat zon tersebut meliputi keseluruhan kontinjen di Semenanjung Malaysia dan subtek yang terlibat dijadikan sebagai pusat kawalan. Ia berfungsi untuk menyediakan laporan, statistik, carta, maklumat terkini aliran pergerakan trafik dan menjadi koordinasi antara bilik gerakan trafik di Bukit Aman.
Mahamad Akhir berkata penugasan yang dijalankan meliputi kawalan subtek dan pasukan rondaan/pemantau (strike force).
“Di pusat kawalan subtek kekuatan terdiri daripada dua pegawai polis yang berpangkat Supt dan DSP yang bertindak sebagai Ketua Operasi dan Timbalan Ketua Operasi manakala di pusat kawalan pula ada urus setia dengan kekuatan 15 anggota dan pegawai yang bertugas mengikut syif.
“Mereka ini bertugas dengan pusingan tugas 12 jam setiap syif memantau pergerakan aliran trafik,” katanya.
Mahamad Akhir berkata Op Selamat kali ini menggunakan pendekatan ‘total enforcement’ dan ‘services’ serta memberi tumpuan di kawasan ‘black spot’ bertujuan mengurangkan kadar kemalangan maut dan melancarkan aliran trafik.
“Penekanan op kali ini memfokuskan penguatkuasaan undang-undang jalan raya tanpa sebarang kompromi terutamanya kesalahan (memandu di) lorong kecemasan dan potong barisan,” katanya.
Susulan itu, polis telah mengenal pasti sebanyak 78 lokasi ‘black spot’ di sekitar Jalan Persekutuan yang banyak berlaku kemalangan.
Mahamad Akhir berkata dalam konteks op ini, pihaknya menggembleng usaha bersepadu melalui ‘Emergency Response Team’ yang terdiri daripada pelbagai agensi antaranya Telekom Malaysia, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Kerja Raya (JKR).
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.