unnamed-3

Jurutera tempatan kian berinovasi dan kreatif dengan menghasilkan pelbagai ciptaan yang mampu membanggakan negara. Terkini, sekumpulan 30 jurutera muda lulusan universiti tempatan berganding tenaga bagi mencipta bas elektrik buatan negara pertama itu.

Idea menghasilkan teknologi hijau itu berikutan ia kini mempunyai permintaan yang tinggi di pasaran dan kos penyelenggaraannya adalah minimum berbanding penggunaan bas konvensional, laporan Bernama.

Menurut Ketua Pegawai Operasi Sync R&D Sdn Bhd Nurulhanom Laham, kejayaan 30 jurutera muda itu amat membanggakan kerana mereka masih baharu dalam membangunkan teknologi seperti itu selain selain sebelum ini kejuruteraannya hanya dimiliki negara China.

“Sebenarnya banyak permintaan daripada pengusaha bas namun bekalan agak terhad selain kurang kemudahan penggunaan kenderaan elektrik seperti stesen pengecas,” katanya kepada Bernama.

Projek ini telah pun dimulakan sejak 2011 dan telah dipatenkan sebagai Elektrik Bas Inovasi Malaysia (EBIM).

Nurulhanom berkata bas elektrik itu mampu menjimatkan kos operasi pengusaha bas di negara ini antara 60% hingga 70% iaitu penjimatan lebih RM300 juta setahun berbanding penggunaan tenaga diesel.

Jelasnya, bas elektrik itu dibuat mengikut spesifikasi dan piawaian yang ditetapkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan United Nations Economic Commission for Europe yang membolehkan ia beroperasi dengan selamat di atas jalan raya.

“Ia kini sudah di peringkat akhir iaitu ujian dan pengsijilan bagi menjamin setiap komponen kenderaan itu berada di tahap terbaik dan selamat serta memenuhi standard sebelum ia boleh dipasarkan,” katanya.

Teknologi baterinya mampu menggerakkan bas sejauh 200 kilometer selaras dengan purata perjalanan operasi bas di ibu kota untuk sehari, katanya.

Jelasnya proses reka cipta menelan belanja kira-kira RM30 juta itu bakal siap sepenuhnya Ogos ini dan dijangka dapat digunakan di atas jalan raya pada pertengahan 2017.