001-aston-martin-db11-1

Andy Palmer, Ketua Pegawai Eksekutif Aston Martin akan memeriksa sendiri 1,000 unit pertama model Aston Martin DB11. Ini adalah sebagai tanda terima kasih dan bagi memastikan kumpulan pertama model berkenaan dikeluarkan tanpa sebarang kekurangan.

Turut akan disertakan ialah lencana khusus pada bahagian enjin dalam jumlah terhad terbabit. Aston Martin DB11 merupakan model yang sangat penting bagi pengeluar British itu memandangkan ia adalah model serba baharu yang dikeluarkan sejak Palmer menggalas jawatan berkenaan pada 2014.

DB11 ialah model kesepuluh di dalam barisan kenderaan ikonik DB yang dikeluarkan oleh Aston Martin, bermula dengan DB1 yang diperkenalkan pada 1984. Memandangkan siri DB ini yang paling berjaya dalam sejarah pengeluaran kenderaan syarikat itu, jangkaan terhadap DB11 oleh pemerhatinya sangat tinggi.

Ini bukanlah kali pertama seorang Ketua Pegawai Eksekutif syarikat automotif mengambil langkah yang luar biasa untuk memastikan pengeluaran modelnya menjadi sangat sempurna. Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif Tesla, Elon Musk dilaporkan pernah tidur di atas lantai kilangnya semata-mata untuk berbuat yang terbaik ketika ingin memperkenalkan Tesla Model X.

Di Malaysia, Aston Martin Kuala Lumpur baru sahaja membuka bilik pameran sementaranya di Jalan Ampang.