JPJ diminta untuk selaraskan maklumat senarai hitam pesalah lalu lintas agar selari dengan polis, SPAD

jpj-roadblock-2-630x380

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai mengarahkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk mensejajarkan senarai pemandu yang disenarai hitam bersama dengan senarai dari pihak polis dan juga Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD). Ini bagi menghalang pesalah trafik daripada memperbaharui lesen memandu mereka, seperti yang dilaporkan oleh akhbar The Star.

Beliau juga sedar bahawa JPJ tidak boleh menggantung lesen pemandu yang disenarai hitam oleh polis kerana perisian komputer yang digunakan oleh kedua-dua agensi ini serta SPAD adalah berbeza dan tidak selari.

Tambahnya, langkah itu perlu bagi membolehkan JPJ dimaklumkan berkaitan senarai hitam dari pihak polis dan tindakan boleh dikenakan kepada pemandu yang terlibat. Beliau memberi maklum balas terhadap berita yang dilaporkan pada hari Rabu berkenaan sejumlah pemandu kenderaan berat dan komersial yang masih boleh mempebaharui lesen mereka disebabkan data polis bagi pemandu yang disenarai hitam tidak dikongsikan dengan segera bersama JPJ.

“Kementerian juga sedang mempertimbang untuk melaksanakan Automated Awareness Safety System (AWAS), sebuah gabungan antara Automated Enforcement System (AES) dan Demerit Points System (Kejara), yang bertujuan untuk menggantung lesen pemandu yang tidak bertanggungjawab.

“Kami akan mengambil tindakan terhadap pesalah, terutama di bawah program AWAS selepas ia dilancarkan nanti, bersekali dengan sistem Kejara. Kami juga boleh membatalkan lesen mereka,” tambah beliau.

Februari lalu, beliau memaklumkan bahawa sistem AWAS merupakan pendekatan yang lebih holistik untuk membendung dan mengurangkan kemalangan jalan raya. Pindaan Rang Undang-undang Pengangkutan Jalan telah diluluskan untuk mula diperkenalkan, dan kini sedang dalam usaha perlaksanaannya.

Menurut Liow, sejurus selepas sistem AWAS dilaksanakan, sistem demerit akan digunakan terhadap pemandu yang tidak bertanggungjawab di mana kiraan mata mereka akan ditolak bagi setiap kesalahan. Lesen memandu mereka juga boleh digantung sekiranya mata kesalahan terkumpul melepasi had maksimum yang ditentukan.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required