Rapid_Penang

Rapid Bus Sdn Bhd, anak syarikat Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) yang turut mengendalikan perkhidmatan bas Rapid Penang, telah pun melancarkan perkhidmatan bas dua tingkat di Pulau Pinang semalam.

Ia dilancarkan oleh Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tuan Yang Terutama Tun Dato’ Seri Utama (Dr.) Haji Abdul Rahman bin Haji Abbas, dengan diiringi Pengerusi Kumpulan Prasarana Tan Sri Ismail Adam, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Dato’ Azmi Abdul Aziz, Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus Encik Zulkifli Mohd Yusoff dan Ketua Pegawai Operasi Rapid Penang, Mejar (B) Mohd Shukri Abdul Rahman.

Bas dua tingkat ini dijangka akan beroperasi secara berperingkat mulai 1 Ogos ini dan digunakan untuk tiga laluan iaitu Laluan 101 (Pengkalan Weld – Teluk Bahang); Laluan 102 (Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas – Teluk Bahang) dan Laluan 301 antara Pengkalan Weld ke Relau, menurut sumber Facebook Penang Kini.

Rapid Penang bakal mempunyai 33 unit model bas ADL Enviro 500 keluaran Alexander Dennis dari Scotland. Ia mampu membawa tambahan 40 penumpang berbanding bas biasa sedia ada. Sekaligus akan meningkatkan efisiensi dan memantapkan operasi Rapid Bus di Pulau Pinang dan meningkatkan lagi mutu perkhidmatan bas Rapid Penang.

Buat setakat ini, Rapid Penang beroperasi dengan 54 laluan yang melibatkan penggunaan 400 buah bas meliputi pengendalian perkhidmatan Rapid Kamunting dan perkhidmatan bas antara bandar ke Sungai Petani, Kedah dan Parit Buntar, Perak.

Kesemua bas milik Rapid Bus bercirikan akses universal yang mesra golongan kurang upaya, berhawa dingin dan disokong dengan fasiliti Paparan Informasi Penumpang, GPS dan Pusat Kawalan Operasi, termasuk dilengkapi dengan lapan kamera litar tertutup.