MRT_Sg_Buloh

Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) telah memaklumkan fasa pertama Mass Rapid Transit (MRT) Jajaran Sungai Buloh-Kajang (SBK) antara Sungai Buloh dan Semantan dijangka mula beroperasi menjelang Disember 2016.

Menurut Pengarah Pengurusan Operasi dan Aset syarikat tersebut, Mahmood Abdul Razak, kesemua 24 tren bagi operasi Fasa Satu telah diserahkan kepada Depot MRT Sungai Buloh, laporan Bernama

“Kerja-kerja trek telah siap bagi laluan dan terowong. Pada masa ini, semua sistem menjalani ujian di seksyen Fasa Satu jejambat dan kami akan mengadakan operasi percubaan pada 1 Okt,” ujar beliau dalam taklimat kepada pihak media.

Katanya lagi, sehingga akhir Mei, kemajuan keseluruhan MRT Jajaran Sungai Buloh-Kajang ialah 86.25%. Untuk bahagian bawah tanah, semua kerja-kerja struktur stesen telah siap, kecuali pintu masuk dan struktur lubang angin di atas permukaan tanah dan pintu masuk

Dalam masa yang sama, beliau turut memberitahu Fasa Dua antara Stesen Semantan dan Stesen Kajang akan beroperasi pada Julai 2017.

Mahmood berkata, berikutan pelantikan Rapid Rail Sdn Bhd pada 1 Julai sebagai pengendali MRT Lembah Klang, bersama MRT Corp sebagai pemilik projek, kedua-dua pihak akan bekerjasama dalam memastikan MRT Jajaran Sungai Buloh-Kajang berjalan lancar sepanjang operasi.

“Rapid Rail Sdn Bhd akan bertanggungjawab bagi penyelenggaraan harian teknikal, khidmat pelanggan, kutipan tambang dan kemudahan di stesen manakala MRT Corp kekal sebagai pemilik aset termasuk struktur dan tren,” katanya.

“Untuk Fasa pertama, sebanyak enam stesen akan mempunyai “park and ride” meliputi parkir kereta bertingkat dan parkir kereta terbuka, sebanyak 100 hingga 600 ruang parkir disediakan di setiap stesen yang terlibat.

“Dari segi bayaran parkir pula, ia akan dikendalikan oleh Rapid Rail Sdn Bhd dan pengguna yang meletakkan kenderaan di “Park and Ride”, mereka akan menikmati kadar bayaran parkir yang lebih murah,” kata beliau.

Beliau berkata Rapid Rail Sdn Bhd juga akan mengendalikan 300 bas pengantara yang akan menyambungkan dengan rangkaian MRT.

“Untuk Fasa pertama, sebanyak 140 bas pengantara akan digerakkan untuk mengambil dan menurunkan penumpang dalam lingkungan 3 kilometer dari stesen MRT dengan anggaran bayaran tidak kurang RM2.

“Bagaimanapun, bayaran bas itu bergantung kepada keputusan SPAD (Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat) untuk menentukannya dan akan dikendalikan oleh Rapid Rail Sdn Bhd,” kata Mahmood.