VIDEO: Perodua Bezza – temu ramah bersama ketua jurutera Albert Ngu berkenaan ciri baharu dari Perodua

Perodua Bezza secara rasminya telah dilancarkan semalam dan dilengkapi pelbagai ciri yang baharu diadaptasikan kepada sebuah kereta Perodua. Ia merupakan sebuah kereta rekaan sepenuhnya (bukan ‘rebadge’ seperti model-model sebelum ini), model pertama yang menampilkan enjin VVT-i dan Dual VVT-i, Perodua pertama dengan sistem start/stop enjin automatik dan juga yang pertama dilengkapi sistem Kawalan Stabiliti Kenderaan (VSC).

Jadi dengan pelbagai ciri yang baharu kepada Perodua, tentu banyak persoalan yang berlegar berkenaan ciri teknikal model terbaharu ini. Oleh itu, kami meminta ketua jurutera untuk projek Bezza iaitu Albert Ngu untuk menjawab semua persoalan berkenaan.

Dibina berdasarkan platform yang sama dengan Axia, pelbagai perubahan dilakukan pada asas binaan Bezza bagi membolehkan ia mampu membawa ruang but tambahan serta enjin yang lebih besar. Untuk ini, ruang enjin telah mengalami sedikit ubahsuai untuk memuatkan enjin 1.3 liter Dual VVT-i pada varian Premium X dan Advance, memandangkan Axia hanya ditawarkan dengan enjin 1.0 liter. Sistem suspensi juga telah ditala semula kerana perbezaan bentuk badan antara Bezza dan Axia.

Perodua juga mengambil serius dalam hal mengurangkan berat keseluruhan Bezza. Untuk model 1.3 liter, berat keseluruhan Bezza ditimbang pada 865 kg – hanya 45 kg lebih berat dari Axia 1.0 liter Standard E manual, walaupun mempunyai pelbagai ciri dan ruang but tambahan. Ini dilakukan dengan penggunaan banyak komponen yang diperbuat dari besi berketegaran tinggi, yang juga menyumbang kepada tahap keselamatan semasa pelanggaran yang lebih tinggi.

Seterusnya, kami bertanya kepada Ngu berkenaan sistem start/stop Henti Melahu (Eco Idle) dan sistem regenarative braking yang buat pertama kalinya diperkenalkan oleh Perodua menerusi Bezza 1.3L Advance. Banyak persoalan berkenaan sistem ini, termasuk kesesuaiannya penggunaannya di Malaysia dan ketahanan serta kos penyelenggaraannya.

Ngu berkata, bateri, motor penghidup enjin dan alternator kawalan linear yang digunakan untuk ciri berkenaan mempunyai ketahanan sama seperti komponen sistem konvensional, dan ciri regenerative braking akan mengekalkan bateri dalam keadaan cas penuh. Walau bagaimanapun, kapasiti bateri untuk sistem ini lebih besar dari kapasiti bateri biasa, jadi ia sememangnya sedikit mahal harganya sekiranya bateri tersebut perlu ditukar.

Perodua_Bezza_Advance_Ext-25

Satu lagi kegusaran pengguna di Malaysia terhadap sistem Henti Melahu ini adalah berkenaan sistem penghawa dingin. Untuk sistem start/stop automatik yang dipadankan pada kebanyakkan kereta jenama import, pemampat sistem penghawa dingin turut akan terhenti dalam keadaan enjin termati. Situasi berkenaan biasanya akan mengundang ketidakselesaan kepada penumpang dalam kereta terutamnya ketika tersangkut di dalam kesesakan trafik ketika cuaca panas.

Bahagian kabin Bezza dilengkapi dengan penderia suhu. Jika penderia berkenaan mengesan suhu di dalam kabin mula meningkat, isyarat akan dihantar supaya enjin dihidupkan semula agar penghawa dingin dapat berfungsi sepenuhnya. Menurut Ngu, sistem ini adalah khas untuk pasaran Malaysia, memenuhi kegunaan pelanggan tempatan. Satu lagi sistem baharu adalah sistem Kawalan Stabiliti Elektronik yang dipadankan ada varian Advance, dan menurut Ngu sistem berkenaan bakal dipadankan secara standard pada semua model-model Perodua akan datang.

Untuk enjin pula, Bezza 1.0 liter menggunakan enjin 1KR-VE berbanding 1KR-DE pada Axia. Menurut Ngu, enjin 1.0 liter berkenaan tidaklah kekurangan tenaga untuk membawa badan sedan yang lebih besar kerana ia dilengkapi dengan sistem pemasaan injap bervariasi VVT-i, membolehkan kuasa 1hp dan tork 1 Nm lebih diekstrak berbanding enjin Axia dengan kuasa keseluruhan dihasilkan 67 hp/91 Nm.

Perodua_Bezza_Advance_Int-8

Untuk enjin 1.3 liter pula, enjin 1NR-VE Dual VVT-i berkuasa 91 hp/121 Nm adalah enjin baharu sepenuhnya, berbeza dengan enjin 1.3 liter K3-VE DVVT pada Myvi. Enjin baharu berkenaan menggunakan dengan blok aluminium yang lebih ringan, tork yang dipertingkat, penggunaan bahan api yang lebih cekap, serta talaan yang lebih diperhalusi.

Ngu berkata walaupun kedua-dua enjin berkenaan adalah baharu, kos penyelenggaraannya adalah kekal murah, tambahan pula jarak perbatuan untuk servis kini telah dipanjangkan. Perincian keseluruhan kini diperhalusi dengan membina badan keseluruhan yang lebih tegar, tebatan bunyi serta aerodinamik yang dipertingkatkan.

Jadi, ini merupakan antara ciri dan teknologi baharu yang diterapkan pada Perodua Bezza. Bagaimana pula prestasi sebenar sedan EEV keluaran Perodua ini? Baca ulasan pandu uji kami di sini.

Perodua Bezza 1.3L Advance

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 

Comments

  • Lynn Gunterman on Feb 06, 2023 at 6:50 am

    To Albert Ngu
    From Lynn Gunterman, Engineer (Retired). Please reply with any extra points.

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0
 

Add a comment

required

required