Kia-Picanto-FL-01_BM

Kia Picanto versi facelit terbaharu telah pun tiba ke pasaran Malaysia, secara senyap-senyap. Picanto generasi kedua yang diberikan nafas baharu ini boleh dijumpai di beberapa pengedar Kia dalam negara – gambar yang disiarkan ini adalah sumber dari Aaron Ong, yang menyiarkannya di laman Facebook Kia Picanto Owners Club Malaysia. Dikhabarkan tiada pelancaran akan dibuat untuk model facelift ini, tetapi harga hatchback kompak ini dilaporkan sama seperti model pre-facelift, iaitu bermula dari harga atas jalan tanpa insuran RM61,888.

Model versi dikemaskini ini telahpun didedahkan pada Januari tahun lalu sebelum membuat kemunculan sulung di Geneva Motor Show tahun yang sama. Untuk pasaran ASEAN pula, hatchback segmen-A ini mula menembusi pasaran Indonesia Ogos tahun lalu. Tiada perubahan besar disaksikan, dengan sedikit perubahan dilakukan pada bahagian luar – terutamanya pada bahagian muka depan dan bahagian belakang.

Rekaan bampar hadapan kini lebih bulat, dan gril hadapan yang sebelum ini sememangnya besar, diperbesarkan lagi. Gril “hidung harimau” bahagian atas pula kini telah direka semula. Picanto kini menerima lampu hadapan halogen dengan lampu nyalaan siang LED serta lampu kabus projektor baharu ditempatkan pada perumah yang mendapat sentuhan semula.

Bahagian belakang hatchback ini kini menerima lampu kombinasi LED, manakala rekaan bampar pula kini tampak lebih berpetak, dilengkapi lampu kabus dan lampu undur yang direka seiring dengan rekaan baharu. Picanto facelift turut menerima roda aloi dua ton berdiameter 14-inci baharu.

Bahagian dalaman juga tidak menerima apa-apa perubahan besar. Paparan instrumen menampilkan grafik meter baharu dan kemasan berwarna perak, manakala komputer trip dan butang reset telah dialihkan ke roda stereng, yang juga menampatkan suis kawalan audio yang direka semula. Unit pemain audio utama kini menampilkan rekaan yang lebih mudah, dengan pengurangan pada suis kawalan. Liang penghawa dingin juga dikelilingi dengan kemasan berwarna perak, bersama sarung tuil gear baharu untuk kotak gear empat kelajuan automatik.

Tiada perubahan mekanikal ditampilkan, di mana Picanto masih dikuasakan dengan enjin 1.25 liter empat silinder Kappa II Dual CVVT berkuasa 87 PS/120 Nm. Sebelum ini, Picanto ditawarkan dengan dua pilihan transmisi iaitu empat kelajuan automatik dan lima kelajuan manual, tetapi dikhabarkan varian manual akan digugurkan untuk versi facelift ini.

GALERI: Kia Picanto facelift di IIMS 2015