MINI JCW Pro Edition -1

Mini Malaysia minggu ini memperkenalkan edisi khas khusus untuk pasaran Malaysia, MINI John Cooper Works Pro Edition, dengan hanya 20 unit terhad ditawarkan bagi model F55 MINI Cooper S 5-pintu berkenaan.

Kini dipamerkan di Auto Bavaria Glenmarie, pakej JCW Pro Edition ini merangkumi bodykit aerodinamik yang terdiri daripada front splitter, bampar belakang, spoiler belakang dan kit sisi badan bernilai RM16,283. Ia disertakan dengan rim 18 inci JCW Pro Jet Black, bernilai RM14,858.

Dari sudut prestasi, model khas ini turut melibatkan kemaskini enjin dan sistem peredam ekzos berinjap yang bernilai RM10,000. Ini membolehkan enjin B48 2.0L, turbocaj empat silinder petrol ini menjana 211 hp kuasa berbanding 192 hp, sementara tork pula ditingkatkan kepada 300 Nm, berbanding 280 Nm pada enjin standard.

Pakej terhad JCW Pro Edition ini juga menampilkan ciri kawalan jauh Bluetooth bagi pilihan sistem ekzos yang didatangkan dengan dua mod; Sport bagi pemanduan seharian dan Track untuk pemanduan agresif.

Sistem berkenaan diselia menggunakan teknologi Bluetooth 4.0 tanpa wayar, yang membolehkan pemandu menukar mod hanya dengan dua kali klik. Ekzosnya juga disertakan dengan perincian gentian karbon, bernilai RM3,000.

MINI JCW Pro Edition dijual pada harga RM255,888 atas jalan, tanpa insurans. Ia juga didatangkan dengan jaminan empat tahun tanpa had MINI dengan servis berjadual percuma. Jika anda berminat untuk mendekati model ini sendiri, tempah slot temu janji anda.