Setakat ini, sekitar 6,000 unit Perodua Bezza dalam proses untuk diserahkan kepada pemiliknya, manakala angka tempahan pula sudah meningkat kepada 19,000 unit. Di dalam sebuah kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, Perodua menjelaskan pecahan bagi unit yang diserahkan adalah seperti berikut; 42% bagi Perodua Bezza 1.3L Advance, 43% bagi Perodua Bezza 1.3L Premium X dan 15% terdiri daripada Perodua Bezza 1.0L.
“Setakat semalam, 5,000 unit Perodua Bezza sudah diserahkan,, sejak model sedan pertama kami itu dilancarkan pada 21 Julai lalu. Kami menjangka akan menyerahkan sekurang-kurangnya 1,000 unit lagi hari ini,” ujar Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Dr Aminar Rashid Salleh.
Sedan kompak ini merupakan kenderaan sedan pertama di dalam segmen A yang dikeluarkan oleh Perodua, dengan reka bentuk badan yang dihasilkan oleh warga Malaysia. Projek ini bermula pada 2014 dengan sokongan rakan kongsi Perodua, iaitu Daihatsu Japan.
Sejumlah RM300 juta dilaburkan bagi menghasilkan model sedan terbaharu itu, yang turut memuatkan 95% kandungan tempatan. Ia dipasang di kilang EEV Perodua yang baharu, Perodua Global Manufacturing Sdn Bhd yang meliputi 75% daripada kerja-kerjanya dijalankan secara automatik.
Perodua Bezza ditawarkan di dalam tiga varian, dengan harga bermula dari RM37,300 hingga RM50,800 bagi varian paling lengkap, 1,3L Advance dengan transmisi automatik. Enam pilihan warna turut ditawarkan, termasuk dua warna baharu, Sugar Brown dan Ocean Blue.
“Kami sangat berterima kasih kepada rakyat Malaysia di atas sokongan yang ditunjukkan dan kerana memilih kenderaan kami sebagai jenama automotif pilihan mereka. Kami kini akan mempergiat proses serahan kepada pelanggan yang sudah membuat tempahan,” tambah beliau lagi.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.