Pagi tadi, kami menyertai lawatan kerja Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Haji Yusof meninjau keadaan di sepanjang laluan motosikal Lebuhraya Persekutuan. Ini merupakan tinjauan kedua yang beliau lakukan, selepas lawatan kali pertama pada tahun 2013.
Bermula dari Kuala Lumpur hingga ke Bukit Raja, beliau mengakui terdapat banyak perkara perlu dipertingkatkan dan diperbaiki dalam usaha untuk menjadikan laluan berkenaan lebih selamat dan selesa kepada penunggang. Sekadar makluman, kami juga pernah mengutarakan bahaya di laluan motosikal berkenaan di dalam laporan video sebelum ini.
Jabatan Kerja Raya (JKR) menggariskan empat isu utama yang sudah dikenal pasti dan kini di dalam proses menanti kelulusan peruntukan daripada kerajaan. Masalah-masalah yang dimaksudkan ialah lorong yang sempit di sebahagian laluan, keadaan terowong yang gelap, banjir di terowong berdekatan Jalan 222, Petaling Jaya dan laluan susur masuk dan susur keluar lorong motosikal ke jalan utama yang merbahaya.
“Semua perkara ini merupakan kerja-kerja berterusan yang akan dilakukan terutamanya oleh JKR. Sebahagian daripadanya sudah pun diambil langkah-langkah yang wajar. Sebagai contoh, terowong yang selalu dinaiki air di Jalan 222 kini sudah mempunyai lapan pam bagi mengatasi masalah berkenaan, namun itu masih belum mencukupi kerana banjir di kawasan itu dipengaruhi oleh paras air Sungai Penchala dan itu berada di luar kawalan sesiapa pun untuk mengelaknya,” ujar Fadillah.
Sebagai penyelesaian jangka panjang, beliau menyatakan di kawasan itu akan dibangunkan laluan bertingkat (overhead ramp) untuk mengelakkan keadaan banjir yang tidak dapat dijangka itu. “Kini, kami menunggu kelulusan kerajaan terhadap peruntukan yang sudah pun disenaraikan,” tambahnya.
Laluan keseluruhan lorong motosikal yang menghubungkan Kuala Lumpur dan Klang kini ialah 28.5 km, dan berada di bawah penyeliaan empat pihak pengurusan berlainan; Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sepanjang 2.4 km, Sprint (2 km), JKR (8.1 km) manakala baki 16 km diselenggara oleh PLUS.
“Inilah sebabnya laluan yang ada sebagai contoh mempunyai kelebaran jalan yang berbeza. Misalnya, laluan yang diselia PLUS lebarnya adalah 3 meter dan selesa untuk penunggang. Tetapi, laluan lama yang masih digunakan ada yang lebarnya hanya 1 meter. Perkara ini juga sedang dipertimbangkan; untuk melebarkan laluan yang sempit,” tambah beliau lagi.
Sebahagian daripada lorong motosikal yang ada kini pertama kali dibina pada 1970an, menghubungkan Kuala Lumpur dan Lapangan Terbang Antarabangsa Subang waktu itu, dengan jarak laluan 16.2 km.
“Kapasiti penggunaan sudah berubah dan sebahagian laluan yang terlibat perlu diperbesar untuk tampung kapasiti pengguna harian,” jelas beliau. Bagi kerja-kerja pelebaran jalan ini, peruntukan RM4 juta sudah dikemukakan kepada kerajaan pada Julai 2016.
“Selain itu, kami juga mendengar isu-isu berbangkit lain berkaitan lorong motosikal ini, antaranya pokok-pokok yang tidak diselenggara dengan baik, kekurangan papan tanda pada kawasan merbahaya dan selekoh tajam dan keadaan terowong yang walaupun sudah dipasangkan lampu, tetapi gelap kerana dindingnya tidak dicat putih. Semua ini akan kami perbaiki dari semasa ke semasa dan secara berterusan,” ujar beliau lagi.
Berikut laporan video kami berkaitan laluan motosikal Lebuhraya Persekutuan seperti yang pernah dilaporkan sebelum ini.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.