Startech-4

Naza-Brabus, pengedar rasmi kenderaan yang ditala oleh Brabus di Malaysia, hari ini memperkenalkan kit aksesori tambahan STARTECH untuk pasaran tempatan bagi Range Rover Evoque. Kit lengkap yang ditampilkan pada model ini bernilai RM56,592.

Bernaung di bawah kumpulan Brabus, edisi berkenaan, kit STARTECH REFINEMENT ini antara lain menampilkan rim 21 inci kustom dengan kit ketinggian yang kini membolehkannya direndahkan sebanyak 35 mm dan sistem ekzos sport.

Bagi rim, ia adalah unit 3 piece rekaan Monostar R dengan saiz 9Jx21 yang ringan dan teguh sekali gus. Saiz tayar yang melengkapinya ialah 265/40 R21. Sebagai pilihan, rim Monostar one piece dalam saiz 9Jx20 dan 9Jx22 turut ditawarkan.

Range Rover Evoque STARTECH turut menampilkan rupa baharu bagi wajah depan dan bahagian belakangnya; bahagian bampar diganti sepenuhnya dan tidak lagi menggunakan bampar asal. Liang masukan udara bahagian depan kini memberikan profil yang lebih dinamik.

Bahagian belakang, diffuser dan corong ekzos merupakan penambahan baharu. Penggunaan spoiler/wing belakang menjadikan imejnya lebih agresif dan sporty.

Pilihan kemasan ruang dalaman yang lebih premium. Antara ciri khusus pada ruang kabin ialah penggunaan stereng dengan bentuk ergonomik, serta pedal, perehat kaki dan shifter diperbuat daripada aluminium.

Turut diusahakan kini ialah talaan enjinnya. Kit prestasi STARTECH bagi enjin 2.0 liter SI4 yang menjana sebanyak 240 hp kini sudah memasuki peringkat terakhir pembangunannya.

Pilihan bagi rekaan kustom pada kabin juga ditawarkan. Warna bagi kemasan kulit termasuk dari jenis Alcantara boleh diberi sentuhan penggayaan yang berbeza. Trim dari kayu dan gentian karbon juga boleh dipilih untuk melengkapi penampilan dalam kabin.