PANDU UJI: Subaru Levorg 1.6 GT-S cukup berkarakter

Subaru_Levorg_Ext-3

Awal Ogos ini, Motor Image Sdn Bhd, pengedar rasmi jenama Subaru di Malaysia, telah pun memperkenalkan model Levorg di pasaran tempatan. Model wagon yang diimport sepenuhnya dari Jepun (CBU) ini ditawarkan dengan varian asas 1.6 GT-S, tidak seperti di negara jiran, Thailand, yang terdahulu melancarkan model ini di sana dengan dua varian iaitu 1.6 GT dan 1.6 GT-S.

Kami sempat memandu ujinya selama beberapa hari untuk mengetahui sejauh mana kehebatan wagon ciptaan Subaru ini. Untuk pengetahuan, nama Levorg diambil dari singkatan LEgacy, reVOlution, touRinG, dan pembinaan wagon ini diasaskan dari platform WRX. Walau bagaimana pun, ia banyak berkongsi ciri dengan WRX, namun ia bukanlah WRX versi wagon. Sebaliknya ia adalah ‘stand alone model’ dan miliki karakteristik yang tersendiri.

Levorg dijana oleh enjin boxer 1.6 liter turbo empat-silinder dengan sistem suntikan bahan api terus, berupaya menghasilkan kuasa maksimum 170 PS bermula 4,800 hingga 5,600 rpm serta tork maksima 250 Nm pada tahap 1,800 rpm hingga 4,800 rpm.

Enjin berkenaan dipadankan dengan kotak gear Lineartronic CVT dengan enam-kelajuan dan kuasa disalurkan ke semua roda menerusi sistem Symmetrical All-Wheel Drive Subaru.

Subaru_Levorg_Ext-40

Padanan enjin dan transmisi ini membantu wagon ini mengekstrak kuasa dan prestasi yang dikehendaki. Walau bagaimana pun, dengan ledakan kuasa 170 PS dan tork 250 Nm, putaran enjin Boxer ini agak lancar. Malahan karakternya cukup terserlah. Ia mampu memberikan pecutan yang pantas walau pun ada situasi yang memerlukan pedal pendikitnya dikerah agar lebih responsif.

Transmisi standard CVT yang dipadankan, boleh dianggap sebagai kotak gear yang lebih baik berbanding konvensional. Malah anjakan enam gear dalam mod auto tidak membuatkan anda ‘sengsara’ untuk mengesan perbezaannya, kerana ia cukup lancar. Perubahan penukaran gearnya juga lembut ketika memilih mengawalnya menggunakan mod manual menerusi pedal penukar gear di belakang roda stereng. Ia mampu mencetuskan keseronokan dalam pengendalian apabila mod manual jadi pilihan.

Walau prestasinya boleh dikatakan bagus, namun ia tidaklah boleh disamakan dengan prestasi yang dimiliki oleh WRX biar pun berkongsi platform yang sama.

Bagi daya cengkamannya, sistem 4WD yang ada memang tiada taranya. Biar pun jentera dipacu laju ketika merentasi selekoh, kestabilannya masih dirasai. Sistem 4WD yang bekerja sepenuhnya tahu bila masa perlu bertindak, malah sangat membantu mempertingkatkan lagi kestabilan jentera.

Subaru_Levorg_Ext-30

Sewaktu merentasi selekoh dengan kelajuan yang agak tinggi, terasa seperti tayar jentera melekat di permukaan jalan. Mencengkam. Memberikan keyakinan untuk memacunya dalam kelajuan yang tinggi dan pemanduan yang sedikit agresif. Sebagai tambahan, sistem 4WD ini turut menyatukan sistem kawalan dinamik kenderaan dan pemvektoran tork aktif bagi memastikan sistem brek dan tork lebih optimum dan mampu disalurkan ke semua roda.

Sama ada di lebuhraya mahu pun jalan biasa, Levorg mampu menzahirkan kuasa di dalam prestasinya. Merentasi jalan berselekoh, Levorg terasa stabil dan mantap, memburu setiap bucu jalan. Bunyi enjinnya juga seperti kurang menyerap dalam kabin, sekaligus tidak mengganggu fokus pemanduan. Namun sesekali, dicitan breknya agak dirasai terutamanya jika ia dikerah secara mendadak.

Levorg juga ditala dengan suspensi yang lebih keras, jadi daripada segi pengendaliannya, ia tidaklah memberikan keselesaan kerana terasa keras. Olengan badannya agak dirasai terutamanya ketika ia dipandu laju dan merentasi permukaan jalan yang kurang rata. Malah jika duduk di tempat duduk penumpang belakang, rasa bumpy tidak dapat dielakkan.

Dengan seberat 1,531 kg, Levorg ini tidaklah pemalas sewaktu melalui kawasan yang berbukit. Namun badannya terasa sedikit berat, lantas kudrat enjin perlu lebih dikerah untuk mendapatkan daya pecutan yang lebih optimum.

Membongkarkan satu lagi aspek karakter Levorg, ia mampu menjadi kenderaan wagon sukan yang menarik, malah cukup praktikal bagi kegunaan seisi keluarga. Malahan, ia menggabungkan keselesaan dan kefungsian yang diperlukan.

Kekemasan yang diperincikan pada setiap sudut cukup menarik perhatian. Rekaan yang sporty, agresif dan elegan diterjemahkan dalam satu bancuhan rasa. Membuatkan Levorg ini tampil dengan imej yang bergaya dan menarik pandangan mata hingga ke hati.

Dengan gril hadapan berbentuk haksagon yang nampak garang, ia dipadankan bersama lampu hadapan LED “Hawkeye” dengan sistem pelarasan sendiri, lampu kedudukan berbentuk-C, lampu kabus halogen dan hood-scoop di atas hudnya.

Selain itu, ia turut menampilkan cermin suria berkuasa, cermin sisi berkuasa dengan lampu isyarat membelok, lampu belakang kombinasi LED, tip ekzos berkembar serta roda aloi berdiameter 18-inci dibaluti tayar bersaiz 225/45R18.

Untuk bahagian kabinnya, ia turut dilengkapi dengan upholsteri balutan kulit berwarna hitam pada tempat duduk, roda stereng serta tombol gear. Dua skrin ditempatkan pada bahagian tengah atas papan pemuka di mana sebuah skrin merupakan skrin paparan pelbagai info, manakala sebuah lagi skrin memaparkan status sistem pacuan semua-roda.

Ia juga dilengkapi dengan skrin sesentuh untuk sistem infotaimen bersaiz tujuh-inci, serta suis kawalan penghawa dingin automatik dua zon yang ditempatkan dibawah skrin berkenaan.

Tempat duduk belakangnya boleh dibaringkan secara nisbah 60:40 bagi memberikan keluasan lebih maksimum untuk ruang kargonya yang asalnya hanya seluas 522 liter, mampu menjadi 1,446 liter.

Ciri lain yang turut hadir sebagai standard pada Levorg ini termasuk brek parkir elektronik, penukar gear, pedal aloi, roda stereng berbentuk-D pelbagai fungsi, pemanas tempat duduk, sistem kamera pandangan belakang, dua punca kuasa USB, dan sistem kunci pintar berserta butang penghidup enjin.

Untuk keselamatan pula, wagon yang sepanjang 4,690 mm, selebar 1,780 mm dan setinggi 1,490 mm ini turut dilengkapi dengan tujuh beg udara (dua di hadapan, tirai dan lutut pemandu), Kawalan Dinamik Kenderaan, Bantuan Lampu Tinggi (HBA), Pengesan Kenderaan Belakang Subaru (SRVD), ABS dengan Bantuan Brek, kamera undur, sistem pemantau tekanan tayar, serta kerangka penguat berbentuk cincin.

Levorg 1.6 GT-S ditawarkan pada harga atas jalan tanpa insuran RM199,720. Model yang diimport sepenuhnya dari Jepun (CBU) ini, turut diberikan waranti lima-tahun atau 100,000 km.

Di Malaysia, tidak banyak pilihan wagon yang ada. Hyundai i40 Sport Tourer merupakan pesaing terdekat bagi Subaru Levorg 1.6 GT-S ini, namun sayangnya ia kurang mendapat sambutan di sini. Manakala model wagon lain seperti Peugeot 508SW dan Mazda 6 Grand Touring, juga agak jarang dilihat di jalan raya. Apa silapnya wagon di Malaysia? Adakah ia tidak cukup menarik? Oh! Mungkin sekali harganya yang agak tinggi menjadi penghalang keinginan untuk memilikinya. Namun jika berkemampuan, Levorg dilihat cukup berbaloi untuk dimiliki.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 

Comments

  • jeffwhlim (Member) on Sep 18, 2016 at 11:45 am

    Why there’s no same review dekat English website? ONLY BM?

    Please translate this review to English… TQ

    Like or Dislike: Thumb up 1 Thumb down 1
 

Add a comment

required

required