Daihatsu Move Canbus – Kei-Car comel untuk wanita

daihatsu-move-canbus-1-e1473321364728_bm

Selain dari bentuknya yang kecil dan comel serta penggunaan bahan api dan pemilikannya yang menjimatkan, ada satu lagi daya penarik pada kei-car buatan Jepun, di mana sebahagian daripadanya diberikan ‘perwatakan’ khusus. Contohnya Daihatsu Mira L200 Felix the Cat dan Mira L500 Hello Kitty. Begitu juga dengan Toyota Passo generasi terbaharu – ia diberikan dua watak berbeza iaitu model standard X, dan juga Moda yang lebih funky.

Terbaharu, Daihatsu memperkenalkan model Move Canbus yang berbentuk seperti van tetapi dalam saiz yang comel, dengan perwatakan lebih feminin, disasarkan untuk pembeli wanita.

Canbus hadir dengan dimensi 3,395 mm panjang, 1475 mm lebar dan 1,655 mm tinggi, dengan jarak roda 2,115 mm. Jadi ia masih lagi diklasifikasikan sebagai K-Car dimana dimensi untuk kelas tersebut ditetapkan tidak melebihi 3,400 mm panjang, 1,480 mm lebar dan 2,000 mm tinggi.

Undang-undang K-Car juga menetapkan kapasiti enjin yang dibenarkan adalah tidak melebihi 660 cc dan kuasa tidak melebihi 64 PS. Jadi, Canbus dikuasakan dengan enjin tiga silinder 658 cc menjana 52 PS pada takat 6,800 rpm dan tork maksima 60 Nm pada takat 5,200 rpm.

Enjin berkenaan digandingkan bersama kotak gear CVT dengan opsyen sama ada pacuan roda hadapan atau pacuan empat roda. Untuk model pacuan hadapan, penggunaan bahan api dicatatkan pada 28.6 km untuk setiap liter mengikut kitaran JC08 Jepun. Manakala untuk model pacuan empat roda pula, penggunaan bahan api dicatatkan pada 27.4 km untuk setiap liter.

Sesuai dengan wataknya, Canbus diberikan muka hadapan yang lebih comel berbanding Move standard atau Move Custom yang lebih agresif. Ia direka dengan konsep yang agak retro menampilkan gril dan lampu hadapan yang lebih bulat pada sudut-sudutnya. Tiang-D turut direka semula dan diwarnakan dengan warna hitam bagi memberikan penampilan seperti van sebenar.

Bahagian belakang juga turut diberi penampilan baharu dengan lampu belakang berbentuk kiub serta pintu belakang ditukar dari pintu bukaan biasa pada Move standard kepada pintu jenis gelangsar. Menambah ciri femininnya, pembeli turut disediakan dengan pilihan warna yang luas bermula dari warna satu ton hingga pilihan kombinasi dua ton, begitu juga dengan roda aloi pelbagai corak bersaiz 14-inci yang boleh dipilih.

daihatsu-move-canbus-3-e1473321734994_bm

Bahagian dalaman Canbus diberikan pelbagai ciri storan yang praktikal seperti tray dibawah tempat duduk belakang yang boleh ditarik/ditolak untuk meletakkan barangan agar ia tidak jatuh. Ia juga dilengkapi dengan skrin sesentuh untuk sistem infotainmen pada varian tertentu, penghawa dingin automatik, tempat duduk pelbagai kofigurasi serta sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin.

Untuk keselamatan, Canbus dilengkapi dengan sistem brek automatik (standard untuk semua varian), lampu hadapan LED adaptif, VSC, Kawalan Tarikan dan minimum dua beg udara (varian lebih tinggi menerima lebih banyak beg udara).

Seperti biasa, peminat Kei-Car tempatan hanya mampu melihat dan bertenang kerana model istimewa sebegini sudah tentunya hanya untuk pasaran JDM sahaja. Daihatsu Move Canbus dijual pada harga bermula 1,188,000 yen (RM47,225) hingga 1,668,600 yen (RM66,330).

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required