latar-highway

Dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-13 di Wisma Seri Pahang yang berlangsung semalam, Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Asas dan Alam Sekitar Pahang Datuk Seri Mohd Soffi Abd Razak telah menjelaskan projek pembinaan Lebuhraya Central Spine Road (CSR) melibatkan dua laluan antara Kota Bharu dan Kuala Krai, Kelantan, serta Kuala Krai ke Simpang Pelangai, Bentong dianggar menelan kos RM6.6 bilion.

Katanya lagi, kos berkenaan lebih tinggi daripada anggaran awal berikutan langkah kerajaan menaik taraf projek daripada laluan dua lorong kepada empat lorong, laporan Bernama.

Dalam menjawab soalan Chow Yu Hui (DAP-Bilut) yang mahukan penjelasan tentang anggaran kos keseluruhan pembinaan projek CSR, beliau turut berkata, pada peringkat awalnya, projek CRS yang dilaksanakan dengan kerjasama kerajaan negeri dan Pusat ini hanya melibatkan pembinaan laluan dua lorong. Namun atas keprihatinan Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob, kerajaan negeri membuat keputusan melaksanakan lebuh raya empat lorong.

“Buat masa ini, pelaksanaan projek Pakej 5 di Bentong melibatkan Raub Bypass dan Bentong Bypass, kemajuan kerja terkini adalah 19.9%,” ujarnya.

Beliau turut memaklumkan, laluan Kota Bahru dan Kuala Krai melibatkan pembinaan jalan sepanjang 70.4 kilometer, manakala untuk laluan Kuala Krai ke Simpang Pelangai adalah sejauh 390 kilometer.