rs150r-vs-y15zr-overall-bm-1

Ramai yang menganggap motosikal berkapasiti kecil sebagai mod pengangkutan yang lebih menjimatkan dan diguna sekadar untuk memudahkan pergerakan. Bagaimanapun, seperti jentera lain yang berenjin dan beroda, ia tetap tidak terlepas daripada menjadi sasaran mereka yang bersemangat untuk mengejar kuasa lebih mengujakan dan lebih bergaya.

Justeru, pengeluar motosikal menghasilkan model yang sesuai, dan antara yang terbaharu dalam pasaran Malaysia adalah Yamaha Y15ZR dan Honda RS150R. Kedua-duanya terletak dalam kategori 150cc dan menggunakan sistem suntikan bahan api (EFI).

Perkara pertama yang dilihat adalah gaya penampilannya. Penulis boleh katakan setiap satu motosikal ini mempunyai cara tersendiri untuk menarik minat pembeli. Yamaha Y15ZR banyak menggunakan gaya moden dan mewarisi konsep rekaan model sports mereka yang lebih besar seperti R25 dan R1, dan ini boleh dilihat pada bahagian hadapan bermuncung tirus (siap dengan lampu LED) dan lampu belakang yang tajam.

Selain itu, warna asas pada badan Y15ZR turut dimeriahkan lagi dengan pelekat berjalur, seterusnya meningkatkan lagi keterampilannya. Honda pula mengambil pendekatan untuk menjadikan RS150R garang tetapi dalam cara berbeza. Mereka menggunakan warna yang lebih sekata pada RS150R dan tidak banyak pelekat yang menjadikan badan motosikal ini bercelaru. Warna yang digunakan bukan warna biasa tetapi adalah kemasan matte ataupun dalam bahasa pasar, warna mati; hitam dan biru.

rs150r-vs-y15zr-overall-bm-2

Tapi jika itu bukan citarasa anda, dan mahukan sesuatu yang lebih berjiwa lumba, Honda ada menawarkan varian Repsol yang sepatutnya mempunyai tambahan harga tidak sampai RM200 (RM8,374.94) tetapi di kedai, harganya boleh jadi lebih. Ini adalah satu masalah yang harus diatasi oleh pihak berkuasa kerana harga motosikal di pasaran boleh jadi tidak menentu dan kedai boleh menjual pada harga mengikut suka mereka walaupun pengeluar telah memberikan harga cadangan.

Sama juga dengan Y15ZR versi Movistar. Harga cadangan dari Hong Leong Yamaha adalah RM8,634.76 (dengan GST) tetapi di kedai, ia boleh mencecah sehingga lebih RM10,000. Gaya mungkin hanya satu jamuan mata, tetapi bagaimana rasa tunggangan yang diberikan oleh kedua-dua motosikal ini? Memang ada kelainan yang dapat dirasa terutama apabila “melompat” terus dari sebuah motosikal kepada yang satu lagi.

Pertama, pemegang atau hendalnya. RS150R mempunyai hendal yang lebih lebar manakala Y15ZR pula lebih rapat. Walaupun ada yang mengatakan hendal lebar memberi lebih keyakinan, penulis rasa kedua-duanya masih lagi mudah dikawal tanpa sebarang masalah. Kemudiannya, tempat duduk. RS150R mempunyai bahagian belakang yang ditinggikan dan kesannya dapat dirasa kepada penunggang, di mana tempat duduk terasa condong ke hadapan.

Perkara itu tidak berlaku pada Y15ZR kerana tempat duduknya terasa rata seperti kapcai biasa (contohnya LC135) dan penunggang tidak perlu menahan kaki untuk mengelakkan terus menggelungsur ke hadapan seperti yang berlaku pada RS150R.

Sebagai tambahan lagi, duduk di atas Y15ZR lebih selesa bagi kedua-dua penunggang dan penumpang. Perkara ini juga mungkin adalah kesan daripada sistem suspensi belakang lebih keras pada RS150R. Beberapa kali helmet penulis diketuk oleh penumpang belakang yang mengarahkan penulis untuk perlahan-lahan apabila jalan tidak rata. Tapi, takkanlah kita perlu membrek setiap kali ada bonjolan kecil atas jalan, kan?

rs150r-vs-y15zr-overall-bm-5

Semasa RS150R baru dilancarkan, penulis ada terlihat beberapa versi bagi motosikal sama di Indonesia dan Vietnam diperkenalkan dengan gaya kembara, dan sesi tunggang uji yang dilakukan melibatkan laluan offroad. Ia membuatkan penulis tertanya – RS150R adalah kapcai biasa tetapi kenapa dibuat begitu?

Sekarang selepas menguji sendiri RS150R barulah penulis faham. Honda mengambil kedudukan tinggi RS150R sebagai satu kelebihan dan cuba menunjukkan motosikal ini boleh berhadapan dengan jalan yang lebih mencabar, dan bukannya sekadar di atas jalan bertar sahaja.

Kalau anda mahukan nombor, tinggi tempat duduk adalah sama iaitu 780mm manakala kelegaan dari tanah RS150R adalah 167mm dan Y15ZR 135mm. Kedudukan tinggi ini turut memberi kesan kepada pemanduan di atas jalan tar biasa. Semasa menunggang RS150R, penulis dapati di selekoh, tidak sekali pun, tempat letak kaki terseret ke atas jalan. Sebaliknya dengan Y15ZR, ada beberapa kali ia terseret meskipun mengambil selekoh masuk ke simpang jalan 90 darjah.

Walaupun begitu, penulis lega Yamaha menggunakan tapak letak kaki yang boleh terlipat apabila kena ke atas jalan. Setidaknya, penunggang masih boleh rasa selamat walaupun ia terkena dan beringat bagi mengelakkan sebarang masalah. Pada RS150R, kalau anda mahu lebih condong mengambil selekoh, rasanya peletak kaki ini perlu ditukar kerana ia adalah jenis yang pegun. Jika terlebih kena atas jalan pada kelajuan tinggi, penunggangnya mungkin akan ditimpa masalah.

Pergi ke aspek yang paling menarik – enjin dan kuasa. Dua motosikal ini menjadi perhatian apabila masuk ke dalam pasaran kerana ia terletak dalam kategori 150cc, menggunakan sistem suntikan bahan api elektronik dan diletakkan pada badan seperti kapcai biasa. Pada masa sama, Yamaha ada model FZ150i yang juga berkapasiti 150cc tetapi mempunyai badan yang lebih besar dan tinggi. Honda pula, pada masa ini, hanya mempunyai RS150R.

Secara lebih tepat, RS150R menggunakan enjin satu silinder 149.16cc DOHC dengan sistem penyejukan cecair manakala Y15ZR pula menggunakan enjin satu silinder 150cc SOHC dan juga penyejukan cecair. Boleh dilihat secara jelas di sini, perbezaannya adalah RS150R mempunyai sistem Double Over Head Cam (DOHC) manakala Y15ZR pula menggunakan Single Over Head Cam (SOHC).

Bermakna, RS150R mempunyai dua cam – masing-masing satu untuk injap kemasukan dan satu lagi untuk injap ekzos. Y15ZR pula menggunakan satu sahaja cam untuk menggerakkan kedua-dua injap kemasukan dan injap ekzos. Selain itu, RS150R juga mempunyai satu gear lebih (enam gear) berbanding Y15ZR.

Perkara ini sememangnya memberi kesan kepada prestasi kuasa yang dihasilkan. Pada RS150R, penulis dapat merasakan pecutannya cukup berkuasa dan untuk mencapai tahap rpm 11,000 pada gear 1, 2, 3, 4 dan 5 begitu mudah sekali. Pada gear 1, 2 dan 3, anda tidak akan mempunyai masa untuk melihat tahap rpm kerana ia sampai ke tahap tertinggi dengan pantas manakala pada gear 4 dan 5, anda masih sempat untuk menoleh ke meter, tetapi, itupun ia sudah masuk ke tahap merah 10,000rpm. Ia kemudiannya boleh dikerah sehingga 11,000 sebelum memasukkan ke gear lebih tinggi.

Dengan Y15ZR, penulis dapat rasakan kuasanya akan lebih menarik apabila naik lebih daripada 5,000rpm dan tahap maksimum hanya lebih sedikit daripada 10,000rpm. Bermula dari gear 3, penulis sudah boleh menoleh ke arah meter untuk menunggu ia sampai ke tahap 10,000rpm dan apabila sudah masuk ke gear 5, barulah terasa motosikal ini agak laju bagi sebuah kapcai.

Pada kedua-dua motosikal, tiada sistem brek anti kunci (ABS), dan ada waktu ia sedikit menakutkan penulis kerana dua kapcai ini memang laju dan boleh ‘merasuk’ penunggangnya. Kalau setakat untuk melebihi tahap kelajuan lebuh raya 110km/j, memang mudah. Tapi di sini, kami tidak boleh nyatakan kelajuan maksimumnya kerana ia tidak diuji di dalam litar tertutup.

Kalau diikutkan dalam risalah spesifikasi, RS150R mempunyai kuasa 15.4 hp @ 9,000 rpm dan 13.5 Nm tork @ 6,500 rpm manakala Y15ZR pula berkemampuan 15.2 hp @ 8,500 rpm dan 13.8 Nm tork @ 7,000 rpm. Daripada aspek penggunaan bahan api, dengan isian jumlah sama RM5 minyak Ron95, kedua-dua motosikal ini boleh pergi sehingga sekitar 100km, dan itu adalah jumlah yang diperolehi melalui tunggangan yang pada kebanyakan masa seperti seorang yang sentiasa mengejar sesuatu kerana sudah terlambat.

Tapi sebenarnya, kuasa dua motosikal ini boleh membuatkan penulis ketagih. Jika ditunggang dengan lebih berhemat, pastinya anda akan dapat jumlah jarak perjalanan yang lebih. Dalam risalah, RS150R mempunyai kapasiti tangki 4.5L manakala Y15ZR pula 4.2L.

Perbezaan lain yang boleh didapati antara RS150R dan Y15ZR adalah saiz tayar hadapan (90/80-17 bagi RS150R dan 70/90-17 bagi Y15ZR), berat (123kg bagi RS150R dan 115kg bagi Y15ZR) serta jarak roda (1,276 mm bagi RS150R dan 1,290 mm bagi Y15ZR).

Sementara itu, RS150R dan Y15ZR juga berkongsi tetapan sama seperti brek cakera hadapan dan belakang, suspensi teleskopik hadapan dan monoshock di belakang dan klac jenis basah. Harga yang dikeluarkan oleh pengilangnya (termasuk GST, tanpa insurans) adalah bermula RM8,213.94 bagi Honda RS150R dan RM8,210.76 bagi Yamaha Y15ZR.

Semua yang penulis nyatakan adalah bagaimana keadaan setiap motosikal ini apabila ia keluar dari kilang (standard) tetapi seperti yang kita ketahui, pada motosikal, sedangkan penukaran sprocket sahaja sudah boleh memberikan pecutan yang berlainan.

Apatah lagi, dua kapcai sports ini menggunakan sistem EFI dengan unit kawalan komputer. Jadi, untuk melaras, hanya perlu menyambung ia pada komputer dan buatlah tetapan yang diingini. Sudah tentu, ia perlu dilakukan oleh mereka yang berpengalaman dan mempunyai peralatannya.

Sebagai kesimpulan, masing-masing Honda RS150R dan Yamaha Y15ZR mempunyai kelebihannya yang tersendiri. Sementara RS150R menawarkan prestasi mengagumkan bagi sebuah motosikal yang keluar dari kilang, Y15ZR pula masih mempunyai prestasi lebih tinggi daripada kapcai biasa, malah lebih selesa untuk tunggangan harian. Aspek gaya, ia bergantung kepada individu.

Honda RS150R vs Yamaha Y15ZR

Honda RS150R

Yamaha Y15ZR