Audi telah menyiarkan video teaser baharu untuk model Q5 generasi kedua – kali ini mendedahkan sistem suspensi udara adaptif yang dilengkapkan pada SUV berkenaan.

Sistem baharu ini tiada pada model sedia ada dan Audi memadankan sistem berkenaan untuk menambahbaik kebolehan off-road untuk Q5. Seperti yang disiarkan pada video ini, pemandu boleh mengubah ketinggian SUV ini bergantung pada permukaan jalan yang di lalui, sama ada pada permukaan lasak atau tar.

Tiada perincian lagi berkenaan mod pada suspensi yang dipadankan pada Q5 ini tetapi ia pasti seiras dengan sistem yang dipadankan pada Q7. Sistem pada Q7 hadir dengan lima mod yang boleh dipilih iaitu Standard, Allroad (+25 mm), Offroad/Lift (+60 mm), Dynamic (-15 mm) dan Loading (bahagian belakang diturunkan sebanyak -55 mm untuk mengisi barang).

Teaser untuk Q5 sebelum ini telah didedahkan ia akan dipadankan dengan lampu belakang dan lampu hadapan matrix LED serta ruang but yang lebih besar. SUV ini dibina dengan platform MLB Evo, memberikan berat yang lebih rendah serta saiz yang lebih besar bagi memberikan ruang kabin yang lebih besar.

GALERI: Foto spyshot Audi Q5 2017