Audi RS 3 Sedan diperkenalkan – 2.5 liter TFSI, lima silinder, 400 HP/480 Nm, 0-100 km/j hanya 4.1 saat

audi-rs3-sedan-01_bm

Pada acara Paris Motor Show tahun ini, Audi telah mendedahkan model prestasi sebenar dan varian tertinggi dalam barisan model A3 iaitu RS 3 sedan. Model ini merupakan sedan A3 pertama yang diberikan lencana RS (sebelum ini hanya model Sportsback RS 3) dan dipadankan dengan enjin lima silinder paling berkuasa dalam dunia.

Enjin 2.5 TFSI baharu yang menjana RS 3 ini mampu menghasilkan kuasa 400 hp (33 hp lebih dari Sportsback RS 3 sebelum ini) dan tork maksima 480 Nm bermula 1,700 hingga 5,850 rpm. Enjin ini dipadankan dengan crankcase aloi sepenuhnya membolehkan beratnya dikurangkan sebanyak 26 kilogram lebih ringan berbanding enjin sebelum ini.

Dua penyuntik bahan api dibekalkan untuk setiap silinder enjin iaitu satu pada manifold kemasukan serta satu lagi suntikan terus ke kebuk pembakaran, bagi memberikan suapan bahan api yang lebih cepat, responsif serta efisien. Sistem pemasaan bukaan injap bervariasi (valvelift) turut dipadankan pada setiap injap ekzos bagi memberikan binaan kuasa yang lebih optimal serta merendahkan lagi penggunaan bahan api.

Seperti yang diketahui, enjin lima silinder menghasilkan bunyi deruman yang mengasyikkan dengan karekter tersendiri. Bunyi dari enjin TFSI Audi ini juga dihasilkan dari corak pengagihan pencucuhannya yang unik dan ia boleh dikawal menerusi mod pemanduan Audi Drive Select dan dihubungkan bersama flap boleh laras pada sistem ekzos.

audi-rs3-sedan-10_bm

Kuasa dilalirkan ke setiap roda menerusi kotak gear klac berkembar S-Tronic tujuh-kelajuan dan sistem pacuan semua roda Audi Quattro, dengan unit karbeda klac pelbagai elektro-hidraulik mengagihkan tork antara gandar. Menerusi sistem ini juga, lebih tork segera akan dialirkan gandar belakang bagi memberikan karekteristik lebih tangkas dan sporty pada pengendaliannya.

Dengan gabungan kesemua sistem ini, RS 3 mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 4.1 saat dan kelajuan maksimanya dihadkan secara elektronik pada 250 km/j. Walau bagaimanapun, pemilik boleh memohon kepada Audi untuk membuka had kelajuan tersebut, membolehkan ia mencapai kelajuan maksima 280 km/j.

Selain dari mengawal bunyi enjin seperti yang disebutkan tadi, mod pemanduan Audi Drive Select turut berintegrasi dengan sistem pengendalian dinamik yang turut melaras talaan stereng, transmisi S-Tronic, dan talaan pengurusan enjin dengan tiga mod yang boleh dipilih iaitu Comfort, Auto dan Dynamic. Sistem berkenaan turut berintegrasi dengan sistem suspensi RS Sport bersama kawalan serap hentak adaptif yang ditawarkan sebagai opsyen.

Sistem Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC) pada Audi RS 3 ini turut menampilkan wheel-selective torque control iaitu perisian pintar yang mengawal agihan tork pada setiap roda. Ketika mengambil selekoh pada kelajuan tinggi, roda pada bahagian dalam akan diberikan sedikit brek. Dengan cara ini, ia dapat memindahkan kuasa lateral yang lebih banyak, memberikan pengendalian yang lebih lancar serta stabil. Sistem ESC untuk RS ini juga hadir dengan mod Sport yang boleh mengawal aksi drift secara elektronik, dan boleh dimatikan sepenuhnya bagi memberikan karekter pemanduan yang lebih sporty.

Casis RS 3 sedan ini ditala sempurna untuk menerima kuasa yang dibekalkan menampilkan stereng progresif, gandar belakang empat hubungan, talaan yang ketat, serta suspensi yang lebih rendah 25 mm berbanding model standard. Brek hadapan dibekalkan dengan cakera berdiameter 370 mm dengan angkup lapan silinder dan cakera 310 mm pada bahagian belakang. Audi turut memberikan pilihan cakera seramik gentian-karbon untuk bahagian hadapan. Model ini dilengkapi dengan roda aloi 19-inci dan dibaluti tayar 235/35/R19. Pilihan tayar 255/50/R19 turut diberikan pada bahagian hadapan.

Model RS ini dibezakan dari varian standard dengan gril hadapan tiga dimensi kerangka tunggal dengan corak sarang lebah serta logo Quattro ditempatkan di sebelah logo Audi. Gril berkenaan diapit dengan sapasang liang kemasukan yang lebih besar untuk mengalirkan udara ke ruang roda.

Lampu utama LED dengan lampu nyalaan siang signatur Audi dipadankan secara standard manakala lampu hadapan LED matrix ditawarkan sebagai opsyen. Ruang roda sedan ini juga dilebarkan menyebabkan lebar keseluruhan meningkat 20 mm berbanding model standard. Roda belakang juga dijarak 14 mm lebih lebar dari model standard. Ia turut diberikan spoiler bersepadu pada but belakang, diffuser pada bampar belakang serta sepasang tip ekzos oval bersaiz agak besar. Dua warna eksklusif – Nardo Grey dan Catalunya Red turut ditawarkan sebagai opsyen.

audi-rs3-sedan-17_bm

Bahagian dalaman model ini diberikan tema warna hitam dan turut dilengkapi dengan lampu logo RS 3 pada bendul, tempat duduk kulit Nappa berwarna hitam berserta logo RS. Tempat duduk RS Sport yang direka dengan perehat kepala bersepadu ditawarkan secara opsyen. Roda stereng rata di bahagian bawah serta paparan instrumen yang kelihatan agresif melengkapkan bahagian dalaman yang sporty RS 3 ini.

Ia turut dilengkapi dengan sistem navigasi MMI dengan MMI Touch, bersama paparan skrin sesentuh tujuh inci. Paparan informasi pemandu yang diletakkan dibahagian tengah memberikan maklumat berkenaan penunjuk tekanan boost turbo, suhu pelincir serta jam randik. Paparan meter maya digital sepenuhnya dengan skrin 12.3-inci dibekalkan secara opsyenal. Paparan tersebut memberikan skrin RS istimewa yang memindahkan takometer ke bahagian tengah, diapit dengan meter tekanan angin tayar, tork serta daya-G.

Untuk sistem hiburan dalam kereta, RS 3 dibekalkan dengan sistem audio Bang & Olufsen 705-watt dihubungkan kepada 14 pembesar suara. Ia hadir dengan kotak telefon Audi yang boleh mengecas telefon pintar tanpa menggunakan wayar dan dihubungkan kepada antena kereta menerusi sistem NFC.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required