AAM logo-1

Persatuan Automobil Malaysia (AAM) di dalam perkembangan terbaharu berkaitan kemelut kewangan yang sedang dihadapinya kini menerima satu lagi tamparan; dua orang dari jawatankuasa pengurusannnya meletakkan jawatan secara mengejut.

Memetik laporan akhbar The Sun, dua ahli berkenaan sudah pun meletakkan jawatan dan dua lagi bakal mengikuti jejak langkah sama. Keputusan mereka diambil berikutan perbincangan dan kesimpulan yang diambil ketika mesyuarat khas (SGM) Isnin lalu.

Philip Leong dan Dr Abdul Malik Yusuf mengundur diri dari jawatan yang disandang Khamis lalu. “Saya tidak dimaklumkan dan tidak tahu-menahu tentang banyak perkara,” kata Leong, seorang peguam kanan yang bertanggungjawab terhadap urusan perundangan bagi AAM. Reaksi sama diluahkan oleh Abdul Malik; “Tidak banyak maklumat yang kami ketahui berkenaan apa yang berlaku sebelum ini.”

Ketika mesyuarat khas untuk membincangkan penjualan ibu pejabat AAM, Pengerusinya Tunku Mudzaffar Tunku Mustapha dan timbalannya, Wan Zaharuddin dan Wan Ahmad dengan berat hati mengakui bahawa situasi kewangan organisasi berkenaan berada di dalam keadaan kritikal; mencecah RM4.5 juta. Mereka juga menyatakan, RM750,000 bayaran cengkeram yang diterima daripada jualan yang dicadangkan itu sudah digunakan, sementara caruman KWSP bagi staf juga tidak dilakukan sejak November tahun lalu.

Abdul Malik turut memberi bayangan bahawa lebih ramai ahli jawatankuasa akan berbuat demikian. Berdasarkan rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Leong dinamakan sebagai pengarah dan pemegang saham minoriti dengan satu unit saham di dalam AAM Motorsports Sdn Bhd. Sementara itu, Tunku Muzaffar dan Wan Zaharuddin merupakan pengarah dan pemegang saham sebuah lagi anak syarikat AAM, AAM Travel Planners Sdn Bhd.

Organisasi yang suatu ketika dahulu tampil yakin dan dinamik sebagai sebuah persatuan permotoran itu kini berdepan dengan masalah kewangan yang kritikal – sehingga tidak mampu membayar gaji pekerja serta bayaran kepada pembekal. Rekod menunjukkan ia telah mencatatkan kerugian saban tahun, namun pada 2011, memcatatkan pula keuntungan lebih daripada RM4 juta. Bagaimanapun, ia kemudiannya berada dalam situasi merudum selepas itu.

Ahli jawatankuasanya merancang untuk menjual bangunan ibu pejabat AAM di Shah Alam dengan nilai RM7.5 juta, dalam usaha terakhir untuk keluar dari kemelut itu. Bagaimanapun, ahli-ahli lain membantah cadangan berkenaan.