sym-sport-rider-125i-1-bm

Sewaktu kami mencari-cari “lawan” yang setanding bagi Honda Future 125 Fi ketika menunggang ujinya Julai lalu, tak ada satu pun model yang mampu menjadi pesaingnya secara berdepan – kecualilah kapcai yang dikeluarkan oleh Suzuki, Shogun Axelo 125 Fi.

Bagaimanapun, itu juga bukanlah sebuah model yang betul-betul baharu ditawarkan dalam pasaran. Jika dilihat kepada penawaran oleh syarikat-syarikat pengeluar motosikal yang ada di Malaysia, entah kenapa, kapcai dengan kapasiti enjin 125 cc bukanlah pilihan yang popular.

Namun, Ogos lalu, ada sebuah model baharu dalam kelas ini diperkenalkan; SYM Sport Rider 125i. Ia merupakan kapcai pertama yang diperkenalkan oleh SYM yang dilengkapi dengan ciri suntikan minyak (fuel injection, Fi). Menurut pengeluarnya juga, Malaysia turut menjadi pasaran pertama yang memperkenalkan model yang hadir dengan pendekatan rekaan yang mereka gelar sebagai “super extreme” ini.

sym-sport-rider-125i-29-bm

Bagi sesetengah orang, SYM mungkin bukan sebuah jenama yang dikenali. Elok kita soroti sedikit sebanyak sejarah dan latar belakang jenama ini bagi pasaran tempatan setakat ini. Sejak bila jenama ini berada di Malaysia? SYM, sebuah jenama yang berasal dari Taiwan mula bertapak di sini sejak 2008. MForce Bike Holdings Sdn Bhd bertindak selaku pengedarnya untuk pasaran tempatan.

Model apa yang pernah dijual? Untuk laporan ini, kita tumpukan hanya kepada model-model kapcainya sahaja. Setakat ini, terdapat tujuh model ditawarkan; Bonus SR 110, E-Bonus 110, E-Smart 110, E-SR 110, Sport Bonus 115 SR, Sport Bonus SR Manual Clutch dan yang terkini, Sport Rider 125i.

Agak jelas di sini, SYM Sport Rider 125i menjadi model paling menarik untuk diperhatikan, dengan kapasiti enjin paling besar di antara model-model lain kapcai SYM yang ada. Mungkin juga, ia ayam tambatan terbaharu yang ingin dipertaruhkan dalam usaha jenama ini meraih pengaruh yang lebih meluas bagi pasaran kapcai. Sekadar rekod, SYM mempunyai peminat yang agak ramai bagi barisan model skuter-skuternya.

SYM Sport Rider 125i dilengkapi dengan enjin 123 cc SOHC dengan dua injap yang mampu menghasilkan 9.5 hp pada 8,000 rpm kuasa maksimum serta 10.8 Nm tork pada 5,500 rpm. Enjin ini menggunakan teknologi sistem suntikan minyak elektronik (EFI) dan menepati piawaian Euro 3. SYM mendakwa enjin ini memberikan penggunaan minyak yang lebih ekonomi tanpa mengorbankan prestasi serta maklum balas tunggangan.

Beralih kepada imej dan rekabentuknya pula, jika dibandingkan dengan kapcai lain dalam kelas 125 cc seperti yang disebutkan sebelum ini, jika anda merasakan ia mempunyai penampilan sporty dan paling menarik, itu mungkin satu andaian yang berasas juga. Kami berkongsi pandangan yang sama; model ini nampak lebih agresif, kemas dan tegap – sesuai dengan nama “Sport” yang digunakan.

Dengan pilihan warna kuning seperti yang terdapat pada unit tunggang uji ini, ia tambah menyerlahkan aspek berkenaan. Tapi, apa pula fungsi kerangka merah yang kelihatan terdedah pada bahagian sisi kapcai ini? Adakah ia memang kerangka yang membangunkan motosikal ini?

sym-sport-rider-125i-2-bm

Jika pada naked bike berkuasa lebih tinggi, ia biasanya dikenali sebagai “turbular frame” – kerangka sebenar pada binaan jentera dua roda yang digunakan itu. Tetapi, pada SYM Sport Rider 125i ini, ia hanyalah bertujuan sebagai elemen reka hias semata-mata – untuk tampak garang dan unik. Itu sahaja.

Dari sudut perincian alatan dan kelengkapan yang ada, kapcai ini mempunyai kelebihan juga. Sebagai contoh, yang dimaksudkan adalah penggunaan meter digital LCD. Ia memudahkan pemerhatian (jika perlu) terhadap angka-angka yang dipaparkan ketika menunggang; sangat terang dan jelas.

Berat kapcai ini ialah 107 kg, dengan kapasiti tangki minyak 4.2 liter yang terletak di bahagian bawah tempat duduk. Di atas kertas, penggunaan minyak motosikal ini didakwa dapat mencapai 55 km per liter, dengan kelajuan tunggangan ialah 90 km/j secara purata. Jadi, secara teorinya, motosikal ini mampu memberikan jarak perjalanan sejauh 231 km bagi satu tangki penuhnya sebelum isian semula diperlukan.

Namun, purata penggunaan minyak ini tidak dipaparkan sebagai maklumat pada panel meternya, jadi kami tak dapat pastikan secara tepat adakah dakwaan itu berasas atau sebaliknya, terutama bagi penggunaan sebenar. Juga, ada satu lagi perkara yang dirasakan menjadi kekurangan pada motosikal ini; ruang barang yang tersedia bersebelahan dengan tangki minyaknya. Dengan dasar tapak yang agak cetek dan keluasan yang sangat terhad.

Tak muat walau nak simpan sebuah helmet pun. Ia hanya boleh digunakan sekadar untuk menyimpan barang-barang kecil sahaja (bagi Honda Future Fi misalnya, ruang yang sama mampu menyimpan sebuah helmet biasa). Walaupun begitu, tetap ada manfaat; misalnya dalam cuaca hujan – boleh juga digunakan untuk menyimpan dompet dan telefon bimbit supaya tidak basah.

Bagi sistem brek, ia menggunakan brek cakera hidraulik untuk bahagian depan, sementara di belakang ia menggunakan brek dram. Satu ciri lain yang wajar juga dinyatakan ialah penggunaan lampu nyalaan siang LED yang terang. Bagi motosikal, ini mungkin satu ciri keselamatan yang baik; untuk meningkatkan daya penglihatan pengguna jalan raya lain terhadap penunggang.

Sebagai ciri standard daripada pengeluar, SYM Sport Rider 125i turut dilengkapi dengan satu set tayar tanpa tiub. Ini juga satu ciri yang sangat berguna, yang mengelakkan tayar daripada pancit serta-merta sekiranya berlaku kebocoran. Oh, seperkara lagi sebelum terlupa; lampu LED tidak hanya ada dibahagian depan – lampu brek belakang juga menggunakan lampu LED yang terang.

Bagaimana pula tanggapan selepas menunggangnya? Secara umumnya, kami rasakan maklum balas yang diberikan oleh motosikal ini sedikit lebih baik dan bertenaga jika dibandingkan dengan Honda Future Fi. Ia lebih bersahaja, dan akan menujah tanpa perlu terlalu dipaksa jika dari kedudukan pegun.

Ini mungkin disebabkan oleh daya tork yang diberikan adalah juga lebih sedikit berbanding pesaingnya itu – 10.8 Nm berbanding 10 Nm pada Future Fi. Sebagai sebuah kapcai, ia sangat senang digunakan untuk urusan harian. Tak banyak perkara untuk diperkatakan bagi aspek ini, namun ia tidaklah pula mengecewakan.

sym-sport-rider-125i-22-bm

Tetapi, jika anda kerap memerlukan ruang yang banyak untuk membawa barangan, ia bukanlah pilihan terbaik. Tidak hanya ruang di bawah tempat duduk yang agak terhad, ruang di antara kaki (yang pada sesetengah motosikal dipasangkan bakul) juga tiada, walaupun sekadar cangkuk ringkas untuk menggantung plastik, disebabkan pendekatan rekaan yang digunakan. Bagi kami, ini tidak menjadi masalah, kerana semua barangan dibawa menggunakan beg sandang.

Sepanjang mencubanya untuk beberapa hari, ada satu perkara lagi yang disedari. Setiap kali jarum menunjukkan pada takat sekitar 4,500 rpm, akan terasa gegaran yang ketara dari bahagian enjin yang terletak di bahagian bawah tempat duduk, dan “menangkap” hingga ke leher dan kepala penunggang.

Tidak pasti sama ada ini merupakan satu masalah atau perkara biasa. Setakat ini, saya tidak pernah berdepan dengan masalah sama ketika mencuba kapcai-kapcai lain. Ada juga kemungkinan bahawa ia hanya dihadapi oleh unit tunggang uji berkenaan sahaja.

sym-sport-rider-125i-25-bm

Apa pun sebabnya, masalah berkenaan sangat tidak menyenangkan ketika menunggang motosikal ini. Dan ia berlaku dengan konsisten; asalkan enjin berada di sekitar 4,500 rpm, kesan seperti yang dinyatakan tadi pasti akan terasa. Sehingga menyebabkan penglihatan seperti bergegar sama dan rasa tidak selesa pada leher.

Dari aspek jaminan, kapcai ini didatangkan dengan jaminan tiga tahun atau 30,000 km, termasuk jaminan setahun atau 10,000 km bagi enjinnya. Terdapat tiga pilihan warna untuk pengguna; biru, merah dan kuning, dengan harga jualan bermula RM5,450 (tidak termasuk GST).

Jika dilihat dari segi harga, memang SYM Sport Rider ini lebih murah. Misalnya, jika dibandingkan dengan Honda Future Fi Single Disc (RM6,072), ia lebih murah sehingga RM600. Tapi, harga yang dinyatakan oleh SYM ini belum termasuk GST. Jika diambil kira faktor berkenaan, mungkin tidak begitu jauh beza harga di antara kedua model ini.

Walaupun segmen kapcai 125 cc tidaklah begitu popular di dalam pasaran tempatan, kami tetap merasakan ramai di antara pengguna tetap akan mempertimbangkannya, terutama dengan penawaran harga yang lebih mesra poket misalnya jika dibandingkan dengan kapcai 135 cc yang lebih popular.

Untuk itu, adakah wajar melihat kepada kapcai ini juga sekiranya ingin membeli kapcai 125 cc? Jawapannya ya; SYM Sport Rider mampu menjadi pilihan yang baik juga, bergantung kepada keperluan, cara dan tujuan yang bagaimana anda ingin menggunakannya.

Cuma, sebaik-baiknya ialah menilai juga daya tahan dan kos pemilikan kedua-dua kapcai ini bagi satu tempoh yang panjang. Untuk ini, kami tidak dapat memberikan pandangan, kerana kesempatan kami untuk mencubanya adalah terhad kepada seminggu sahaja. Perlu dijelaskan, semua pandangan ini lahir daripada pengalaman singkat itu. Apa pun, kami tetap beranggapan motosikal ini mempunyai nilai yang baik bagi wang yang dikeluarkan.