Dalam masa empat hari sahaja lagi, Mercedes-Benz akan menayangkan trak pikap konsep pertama mereka di Stockholm, Sweden. Ia adalah berita penting kerana model konsep ini akan menunjukkan pandangan awal serta hala tuju Mercedes-Benz dalam segmen yang baru pertama kali diceburi.
Gambar yang terdapat dalam video siaran langsung ini tidak menunjukkan apa-apa yang jelas mengenai trak pikap ini cuma yang boleh dikatakan, ia mempunyai hadapan yang membulat dan ada sedikit lebihan seperti penghadang angin di bahagian hujung belakangnya.
Walaupun begitu, trak pikap ini dijangka akan kelihatan seperti lakaran artis yang pernah dikeluarkan pada bulan Mac lalu dan kemudiannya dijelaskan sebagai satu kerjasama strategik antara Mercedes-Benz dan Nissan.
Melalui kerjasama ini, trak pikap Mercedes-Benz (khabar angin mengatakan dipanggil sebagai GLT) akan menggunakan asas daripada Nissan NP300 Navara/Renault Alaskan. Pilihan enjin pula besar kemungkinan akan terdiri daripada 2.5 liter petrol, bersama dua pilihan diesel turbo (2.3 liter dan 3.0 liter), dan ia akan dibina oleh Alliance di kilangnya di Cordoba, Argentina dan Barcelona, Sepanyol.
Pikap ini juga hanya akan datang dalam bentuk badan dual-cab, dengan fokus kepada “kerja dan berseronok”. Pasaran utama yang disasarkan adalah termasuk Amerika Latin, Afrika Selatan, Eropah, Australia dan New Zealand, dengan pembangunan dan ujian dijalankan di Australia. Trak pikap Mercedes-Benz ini akan terletak atas pada model Ford Ranger, Volkswagen Amarok, Toyota Hilux dan Nissan Navara sendiri.
GALERI: Spyshot Mercedes-Benz X Class
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.