Hujung bulan lalu, Audi telah menyusun semula strategi sukan permotoran mereka, menyaksikan pasukan yang bertanding di FIA World Endurance Championship (WEC) termasuk perlumbaan Le Mans 24 Jam terpaksa menarik diri untuk musim hadapan kerana jenama dari Jerman berkenaan mahu menumpukan pada kejohanan kereta elektrik sepenuhnya iaitu siri kejuaraan Formula E.

Dengan pengunduran berkenaan, maka berakhirlah era Audi dalam kejohanan endurance dunia selama 18 tahun yang bermula pada tahun 1999, dimulakan dengan jentera perlumbaan prototaip R8R dan R8C, kedua-duanya bertanding pada Le Mans 24 Jam tahun tersebut.

Pada tahun 2000, jentera R8 LMP diperkenalkan seterusnya menjadi jentera paling berjaya dengan memenangi lima perlumbaan Le Mans (2000, 2001, 2002, 2004, dan 2005) sepanjang enam tahun penyertaannya dalam perlumbaan berkenaan. R8 kemudiannya digantikan dengan jentera perlumbaan berkuasa diesel R10 TDI, yang mendominasi Le Mans dengan menjuarai perlumbaan pada tahun 2006, 2007 dan 2008.

screen-shot-2016-11-09-at-1-26-28-pm

Jentera R15 TDI plus pula kemudiannya menjuarai Le Mans pada tahun 2010, diikuti jentera R18 TDI pada tahun 2011. Era teknologi hibrid pada perlumbaan Le Mans bermula pada tahun 2012, di mana jentera Audi R18 e-tron quattro menggantikan jentera R18, seterusnya memenangi perlumbaan tahun tersebut dan kemudiannya pada tahun 2014.

Menerusi video ucapan selamat tinggal ini, kesemua kereta Audi berkenaan dari pelbagai tempat ‘kembali ke rumah’ dengan sistem navigasi ditetapkan ke arah Circuit des 24 Heures du Mans iaitu litar berlangsungnya perlumbaan Le Mans 24 Jam.

Kepulangan kereta-kereta berkenaan diiringi dengan runut bunyi “Homeward Bound” dari Simon and Garfunkel. Setelah kesemua sampai ke destinasi, jentera perlumbaan Audi LMP dilihat sedang membuat pusingan terakhirnya pada litar tersebut.

Walau bagaimanapun, Audi masih lagi kekal bertanding dalam kejohanan DTM dan akan terus mengambil bahagian dalam Kejuaraan Rallycross Dunia.