baic_d20_ext-1bm

Sebagai tambahan kepada model EV200, BAIC juga memperkenalkan model berenjin petrol dikenali sebagai D20. Pelancaran model ini dijangka berlaku lebih awal berbanding EV200 tahun hadapan dan kini sudah menerima status kenderaan cekap tenaga (EEV) oleh kerajaan.

Hasil usaha sama dengan sebuah syarikat tempatan, Amber Dual Sdn Bhd, BAIC D20 akan dipasang di Gurun, Kedah. Dua pilihan enjin berstatus Euro 5 akan disediakan untuk pasaran Malaysia iaitu 1.3 L berkuasa 100 hp/ 128 Nm dan 1.5L yang mampu menghasilkan kuasa 114 hp dan 148 Nm tork. Kuasa ini kemudiannya disalurkan kepada dua roda hadapan.

Bagi model berenjin 1.3L, ia datang bersama satu pilihan transmisi sahaja iaitu manual lima kelajuan dan dinamakan sebagai varian Comfort 5MT manakala model berenjin 1.5L pula akan ditawarkan dalam dua varian transmisi manual; Comfort 5MT dan Fashion 5MT, dan dua pilihan varian automatik; Comfort 4AT dan Fashion 5MT. Bagi semua varian ini, anda boleh memilih sama ada badan berbentuk hatchback ataupun sedan.

baic_d20_ext-3bm

Secara asasnya, BAIC D20 mempunyai ukuran 4,040 mm panjang, 1,720 mm lebar, 1,503 mm tinggi dan jarak roda 2,500 mm. Brek hadapannya menggunakan unit cakera manakala belakang pula daripada jenis dram. Suspensi hadapan D20 adalah daripada jenis MacPherson manakala bahagian belakang pula daripada jenis torsion beam H-type.

Perbezaan di antara varian yang boleh dilihat pada bahagian luar adalah rim 14 inci besi yang digunakan pada varian 1.3L 5MT Comfort, sementara varian lain menggunakan rim aloi 14 inci dan cermin hadapan kalis UV. Varian Fashion (5MT dan 4AT) juga mendapat tambahan bumbung suria.

Pada bahagian dalam pula, kelengkapan ekstra yang ada pada varian Fashion (5MT dan 4AT) adalah termasuk kamera undur, kunci alat pengawal jauh, stereng tiga kaki, enam pembesar suara, skrin paparan sistem hiburan 6.5 inci, lampu utama dan pengelap cermin automatik, serta cermin sisi yang boleh dilipat secara elektronik.

Dari aspek keselamatan pula, semua varian D20 dilengkapi dengan brek ABS dan EBD, dua beg udara di hadapan, stereng boleh ditarik, immobilizer enjin, sistem penggera, lampu siang, lampu kabus belakang dan cangkuk ISOFIX. Selain amaran untuk tali pinggang hadapan, varian Fashion juga akan ditambah dengan amaran tali pinggang belakang.

Keseluruhannya, terdapat tujuh warna untuk BAIC D20 iaitu perak, putih, emas, merah, biru, oren dan hitam. Semua ini adalah spesifikasi yang didapati untuk D20 pasaran antarabangsa dan untuk Malaysia, kita masih perlu menunggu pelancaran rasminya nanti untuk mengetahui lebih lengkap, bersama harganya.